
KUCHING: Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) melantik Dato Sri Joseph Salang Gandum sebagai Penasihat Khas bagi penggal 2026 hingga 2029.
Presiden DCCI, Dato Allan Keripin Nangkai berkata, pelantikan itu mencerminkan komitmen dewan untuk memanfaatkan kepimpinan berpengalaman serta pandangan strategik dalam memperkukuh peranannya.
“Pengalaman luas, dedikasi tinggi serta nasihat yang dihormati daripada Salang dijangka memainkan peranan penting dalam membimbing DCCI mencapai visi dan objektif strategiknya, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan komuniti perniagaan Dayak.
“DCCI juga menantikan sumbangan perspektif beliau dalam menyokong inisiatif pembangunan sosioekonomi yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada majlis tersebut, Salang menerima surat pelantikan sebagai Penasihat Khas DCCI daripada Allan.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Naib Presiden Kanan DCCI, Datuk Winsel Ahtos.