KUCHING, 20 Oktober: Polis Padawan memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Taman Moyan, Jalan Tondong, Batu Kawa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, remaja berkenaan dikenali sebagai Elaine Tou Xiao Hui yang dilaporkan hilang kira-kira 4.00 petang semalam.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu kira-kira 12.24 tengah malam tadi.
“Ketika kali terakhir dilihat, remaja berkenaan memakai baju-T berwarna hitam dengan logo Nike serta seluar jean pendek berwarna hitam,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Elaine diminta tampil membantu siasatan polis.
Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Yusri Sidek menerusi talian 013-8101032 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.
Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat berkaitan.
Polis berharap kerjasama masyarakat dapat membantu mengesan remaja berkenaan secepat mungkin.
Oleh Connie Chieng




