DUN: 321 maut dalam kemalangan jalan raya di Sarawak setakat September 2026

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Lee Kim Shin ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pengangkutan Sarawak pada sidanG Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 19 Oktober: Sarawak merekodkan 321 kematian dalam 293 kemalangan maut daripada keseluruhan 16,776 kemalangan jalan raya yang berlaku sepanjang Januari hingga September 2026.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh itu turut menunjukkan 106 kes kemalangan mengakibatkan kecederaan serius, manakala 171 lagi melibatkan kecederaan ringan.

Sebanyak 16,206 kes selebihnya membabitkan kerosakan kenderaan sahaja.

“Data menunjukkan kereta terlibat dalam lebih separuh daripada semua kemalangan, diikuti oleh kenderaan pacuan empat roda dan motosikal,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, PDRM mengeluarkan 90,556 saman bagi pelbagai kesalahan lalu lintas utama sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 88,189 saman melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju, diikuti 802 saman kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Sebanyak 767 saman turut dikeluarkan kerana memotong barisan, manakala 528 saman melibatkan kesalahan melanggar lampu merah dan 270 lagi kerana melintasi garisan berkembar.

INFOGRAFIK statistik kemalangan jalan raya di Sarawak setakat September 2026.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak merekodkan 4,547 saman bagi kesalahan lalu lintas utama sehingga September 2026.

Lee berkata, kegagalan memakai tali pinggang keledar atau topi keledar menjadi kesalahan paling banyak direkodkan JPJ, dengan 2,927 saman dikeluarkan bagi kesalahan berkenaan.

Selain itu, sebanyak 900 saman melibatkan kenderaan yang membawa barangan berbahaya, manakala 246 lagi berkaitan kesalahan membawa muatan berlebihan.

JPJ turut mengeluarkan 199 saman kerana melanggar lampu merah, 160 kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu, 77 kerana memotong di garisan berkembar, 33 kerana memotong barisan dan lima kerana menggunakan lorong kecemasan.

“Angka-angka ini menunjukkan keperluan untuk kesedaran yang lebih tinggi dan pemanduan yang lebih berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Bagi memperkukuh keselamatan jalan raya, Lee berkata kementeriannya meneruskan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak, PDRM, JPJ, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan agensi berkaitan melalui pelbagai program kesedaran.

Kempen keselamatan turut dilaksanakan ketika musim perayaan, khususnya di laluan utama dan Lebuh Raya Pan Borneo, bagi menggalakkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan serta mengamalkan pemanduan berhemah.

Dalam usaha mendidik pengguna jalan raya sejak usia muda, Program Permainan Lalu Lintas Sarawak (STG) yang diperkenalkan pada 2024 telah memberi manfaat kepada 720 pelajar di seluruh negeri.

Sementara itu, Program Perubahan Tingkah Laku Kesedaran Pengangkutan (T-ABC) yang dilaksanakan sejak 2022 telah menjangkau kira-kira 1,500 pelajar di enam bahagian di Sarawak.