KUCHING, 19 Oktober: Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA) di Tanjung Embang berpotensi menyumbang kira-kira RM1.8 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak menjelang 2050.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata unjuran itu antara dapatan kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan oleh Netherlands Airport Consultants (NACO).
“Kajian itu turut mengunjurkan NKIA berpotensi menyokong kira-kira 37,919 pekerjaan merentasi pelbagai sektor ekonomi. Semasa fasa pembinaan, Fasa Satu berpotensi menyediakan kira-kira 9,393 peluang pekerjaan setahun sepanjang tempoh pembinaan yang dijangka selama enam tahun.

“NKIA berpotensi mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas dalam sektor pelancongan, penerbangan dan industri sokongan, termasuk kargo udara, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), pembuatan alat ganti pesawat serta pembangunan aerotropolis,” katanya.
Lee berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata kajian itu merumuskan bahawa Tanjung Embang sesuai dari segi teknikal dan operasi untuk pembangunan lapangan terbang yang dicadangkan.
“Kajian itu turut mengunjurkan bahawa peningkatan trafik penumpang berpotensi menjana pendapatan pelancongan berjumlah RM3.99 bilion menjelang 2050. Manfaat ini berpotensi menarik pelaburan baharu, memperkukuh perniagaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh Sarawak,” katanya. – Bernama



