DUN: Violet Yong diarah keluar dewan susulan kenyataan ‘pengecut politik’

Facebook
WhatsApp
PERBAHASAN hangat mewarnai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak apabila beberapa Ahli Dewan menyampaikan hujah serta pandangan berhubung isu yang dibangkitkan, manakala Speaker DUN mengendalikan persidangan bagi memastikan perjalanan sidang berlangsung dengan teratur.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Violet Yong Wui Wui (DAP-Pending) diarah keluar daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini susulan kenyataannya yang menggelar Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin sebagai ‘pengecut politik’ ketika persidangan semalam.

Arahan itu dikeluarkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar selepas memutuskan kenyataan Yong sebagai tidak berparlimen dan biadab.

Keputusan tersebut dibuat selepas Lee membangkitkan Peraturan Mesyuarat berhubung kenyataan Yong yang dianggap tidak sesuai digunakan dalam persidangan DUN.

Asfia bersetuju bahawa penggunaan ungkapan ‘pengecut politik’ terhadap seorang ahli dewan adalah tidak berparlimen sebelum mengarahkan Yong keluar daripada dewan.

Pertikaian itu merupakan kesinambungan daripada insiden semalam apabila Yong mencelah ucapan penggulungan Lee yang mengkritik pandangan Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu.

Ketika itu, Lee menyifatkan pandangan Chong yang menggesa kerajaan membatalkan projek lapangan terbang berkenaan serta beberapa projek infrastruktur strategik lain atas faktor kos sebagai berpandangan cetek dan menunjukkan dwistandard politik.

Bagaimanapun, Yong membantah tindakan Lee mengkritik Chong ketika rakan separtinya itu tidak berada di dalam dewan untuk mempertahankan diri selepas digantung daripada menghadiri persidangan.

Yong kemudian menggelar Lee sebagai ‘pengecut politik’ kerana mengemukakan usul penggantungan Chong sebelum mengkritiknya ketika beliau tidak dapat menghadiri persidangan.

Lee bagaimanapun menegaskan bahawa penggantungan Chong bukan keputusan peribadinya, sebaliknya diputuskan melalui undian majoriti 62 ADUN yang menyokong usul berkenaan pada 15 Oktober lalu.

Walaupun diminta menarik balik gelaran tersebut, Yong enggan berbuat demikian dan tetap mempertahankan kenyataannya.

Untuk rekod, Chong digantung daripada menghadiri baki persidangan DUN Sarawak sehingga 21 Oktober ini selepas usul yang dikemukakan Lee diluluskan pada 15 Oktober lalu dengan 62 undi menyokong, satu menentang dan satu berkecuali.

Usul berkenaan dikemukakan susulan dakwaan Chong mengelirukan dewan ketika mempersoalkan kebolehpercayaan dokumen Belanjawan Sarawak 2027, selain menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan serta mengemukakan tuduhan tanpa bukti ketika perbahasan pada 13 dan 14 Oktober.

Penggantungan itu turut mendapat bantahan Yong yang sebelum ini mempersoalkan tindakan terhadap Chong ketika beliau tidak hadir dalam persidangan kerana mempunyai urusan di Dewan Rakyat.

Oleh Masrin Affirah