PETRA JAYA, 19 Oktober: Sebanyak 215 pengecas kenderaan elektrik (EV), merangkumi pengecas arus ulang-alik (AC) dan arus terus (DC), dipasang di seluruh Sarawak setakat September 2026.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peluasan kemudahan pengecasan itu akan membantu meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan bagi pengguna EV, sekali gus menyokong peralihan kepada sektor pengangkutan rendah karbon.
“Peningkatan penggunaan EV sekali gus menyokong aspirasi lebih luas Sarawak ke arah sektor pengangkutan rendah karbon serta peralihan Malaysia kepada mobiliti mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lee berkata penggunaan EV di Sarawak menunjukkan perkembangan secara berperingkat, mencerminkan peningkatan minat orang ramai terhadap mobiliti mampan.
Tambahnya, berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 1,334 daripada 56,452 motosikal yang didaftarkan di Sarawak antara 2021 hingga 2026 ialah motosikal elektrik.
Jumlah itu mewakili kira-kira 2.36 peratus daripada keseluruhan pendaftaran motosikal, bersamaan nisbah satu motosikal elektrik bagi setiap 42 motosikal yang didaftarkan.
“Sarawak secara berperingkat menerima penggunaan pengangkutan yang lebih bersih, disokong oleh inisiatif kerajaan, peningkatan ketersediaan model EV serta peluasan infrastruktur pengecasan,” katanya.




