Tiada kemajuan ketara, MBKS digesa beri tarikh siap projek tebatan banjir Jalan Mendu

Facebook
WhatsApp
KEADAAN tapak projek tebatan banjir di Jalan Mendu, Kuching yang masih belum siap walaupun sudah melepasi tarikh siap asal pada 9 Februari 2026.

KUCHING, 20 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) digesa menjelaskan status terkini dan menetapkan tarikh siap yang jelas bagi projek tebatan banjir di Jalan Mendu yang kini lewat lebih lapan bulan daripada jadual asal.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, keadaan di tapak projek menimbulkan persoalan apabila tiada kemajuan ketara dapat dilihat dan pekerja juga didapati tidak kelihatan menjalankan kerja pembinaan ketika lawatan terbarunya.

“Semasa lawatan terbaru saya, saya mendapati tiada pekerja yang kelihatan menjalankan kerja-kerja pembinaan, manakala penghadang keselamatan plastik sementara dibiarkan berselerak di atas jalan raya,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai pemantauan MBKS terhadap prestasi kontraktor serta tindakan yang telah diambil bagi menangani kelewatan projek berkenaan.

Projek itu pada asalnya dijadualkan siap pada 9 Februari 2026, namun sehingga kini masih belum terdapat petunjuk jelas mengenai tarikh baharu projek berkenaan akan disiapkan.

LALUAN Jalan Mendu, Kuching yang sempit dan terhad berikutan projek tebatan banjir yang masih belum selesai.

Kong berkata kelewatan tersebut turut memberi kesan kepada pengguna Jalan Mendu yang terpaksa berdepan gangguan lalu lintas, kesesakan dan kesulitan selama berbulan-bulan.

Katanya, aspek keselamatan pengguna jalan raya turut menjadi kebimbangan susulan pengurusan tapak pembinaan yang didakwa kurang memuaskan, termasuk penghadang sementara yang berulang kali tumbang atau menghalang laluan kenderaan.

Beliau menggesa MBKS mengambil tindakan segera bagi memastikan kontraktor menyambung semula kerja tanpa berlengah serta menyediakan tenaga kerja dan jentera yang mencukupi bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Orang ramai berhak mengetahui bila gangguan berpanjangan ini akan berakhir. MBKS perlu memberikan tarikh siap yang jelas dan realistik,” katanya.

Kong berkata projek tebatan banjir sepatutnya meningkatkan keselamatan awam dan melindungi masyarakat daripada risiko banjir, bukannya menjadi punca berterusan kepada kesesakan, kesulitan dan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Oleh Connie Chieng