
KUCHING: Tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuching memastikan keadaan di Kampung Rantau Panjang kekal selamat dan terkawal meskipun hujan renyai-renyai berterusan, hari ini.
Hasil pemantauan yang dijalankan mendapati paras air menunjukkan trend menurun, manakala jalan utama di kampung berkenaan masih boleh dilalui kenderaan.
Menurut kenyataan Unit Perhubungan Awam dan Dokumentasi Sarawak, situasi keseluruhan di kawasan tersebut adalah baik dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, sebanyak lima rumah terjejas telah mengambil langkah proaktif dengan berpindah sementara ke kediaman saudara-mara sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan masing-masing.
Pasukan pemantauan APM Kuching seterusnya bergerak ke kawasan Barrage Batu Kitang bagi melakukan pemantauan berterusan terhadap paras air dan perkembangan semasa.
APM Kuching menegaskan komitmen untuk terus berganding bahu bersama agensi berkaitan dan komuniti setempat dalam memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara, selaras dengan prinsip kesiapsiagaan bencana sebagai tanggungjawab bersama.