
BAKO: Golongan asnaf di Zon Bako terus disantuni menerusi Program Kembara Mindness Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) serta majlis serahan zakat dan bakul makanan kepada golongan asnaf bagi Zon Bako yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Selabat, Demak Laut, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, yang turut menyempurnakan simbolik penyerahan zakat dan bakul makanan kepada penerima terpilih.
Nancy melahirkan rasa syukur kerana dapat bersama masyarakat Kampung Selabat melalui program turun padang yang bertujuan mendengar sendiri suara rakyat serta memastikan bantuan disampaikan secara langsung kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, program itu merupakan usaha Yayasan Kebajikan Negara untuk memperkukuh peranan PSSS sebagai pusat rujukan komuniti, khususnya dalam aspek sokongan sosial dan kesejahteraan mental.
“Kesihatan mental merupakan perkara yang amat penting selain kesihatan fizikal. Setiap daripada kita pasti pernah berdepan tekanan dan cabaran kehidupan.
“Mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah berani untuk menjaga kesejahteraan diri dan keluarga,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa peka terhadap keadaan ahli keluarga dan jiran tetangga kerana banyak kes sosial yang berlaku berpunca daripada masalah kesihatan mental yang tidak ditangani dengan baik.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat disaran memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan di PSSS untuk mendapatkan nasihat dan sokongan profesional.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 600 penerima zakat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Datu, Pantai Damai dan Demak Laut telah dikenal pasti untuk menerima bantuan pada tahun ini.
Selain itu, sebanyak 1,033 bakul makanan telah disumbangkan oleh Yayasan Kebajikan Negara dengan kerjasama PEKEMA dan Petronas bagi diagihkan kepada penduduk Kampung Selabat serta kawasan sekitarnya.
Daripada jumlah tersebut, seramai 77 penerima asnaf daripada 11 kampung di Zon Bako menerima bakul makanan sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan dan rakan strategik.
Tambah beliau, bantuan yang disalurkan bukan sekadar memenuhi keperluan harian, malah memberi harapan dan kekuatan kepada masyarakat yang terkesan.
“Ia membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan tiada siapa yang terpinggir dan setiap komuniti terus dibantu serta diperkasakan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru penduduk kampung agar bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menyalurkan maklumat mengenai mereka yang benar-benar memerlukan bantuan, termasuk keperluan penambahbaikan infrastruktur dan pembaikan rumah di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengajak masyarakat untuk terus membina komuniti yang lebih kuat, prihatin dan sejahtera, khususnya pada Ramadan yang penuh keberkatan.
“Marilah kita bersama-sama memanfaatkan Ramadan ini untuk saling membantu antara satu sama lain,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud