Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sarawak terima penyerahan obor SUKMA XXII, komited hantar kontinjen terbesar ke Selangor
  • SUKAN

Sarawak terima penyerahan obor SUKMA XXII, komited hantar kontinjen terbesar ke Selangor

Utusan Sarawak 2 days ago
SIMBOLIK PENYERAHAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyerahkan obor Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-22 kepada delegasi kerajaan Selangor sebagai simbolik penyerahan tanggungjawab penganjuran SUKMA XXII, di Bangunan Baitul Makmur 2, hari ini.

PETRA JAYA: Sarawak menerima kunjungan rasmi delegasi kerajaan Selangor bersempena Sidang Media dan Majlis Penyerahan Obor kepada penganjur Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-22, sekali gus menandakan kesinambungan tradisi jelajah jemputan rasmi temasya sukan dwitahunan itu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, amalan kunjungan negeri penganjur ke negeri lain merupakan konvensyen SUKMA bagi mengukuhkan hubungan awal, memudahkan penyelarasan serta memberi penerangan berkaitan penganjuran temasya berkenaan.

Menurut beliau, delegasi Selangor hadir bagi menjemput Sarawak menyertai SUKMA XXII yang dijadual berlangsung Ogos ini, selain berkongsi maklumat awal melibatkan pengurusan pertandingan, lokasi acara dan urusan teknikal.

“Pendekatan ini membantu merapatkan hubungan antara negeri yang bertanding serta melancarkan perhubungan menjelang temasya bermula,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Mulu, Tingkat 17, Bangunan Baitul Makmur 2, di sini, hari ini.

RAKAM KENANGAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bergambar bersama delegasi kerajaan Selangor pada sidang media berhubung penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-22 di Bangunan Baitul Makmur 2, hari ini.

Delegasi Selangor diketuai Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Muhammad Nazwan Halimi, bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXII dan PARA SUKMA, Muhammad Yazid Syairi.

Nazwan dalam ucapannya memaklumkan, secara tradisi negeri tuan rumah akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi menyampaikan jemputan rasmi, selain menyerahkan obor SUKMA sebagai simbol permulaan persiapan temasya.

Katanya, penyerahan obor dari Sarawak itu menandakan bermulanya perancangan larian obor di Selangor.

Beliau turut menjelaskan bahawa persiapan Selangor sebagai tuan rumah berada pada tahap yang baik dengan lebih 80 peratus fasiliti sukan telah dinaik taraf, manakala baki selebihnya dijangka siap sepenuhnya menjelang April.

Tambahnya, antara fasiliti utama yang melalui naik taraf besar ialah Pusat Akuatik Shah Alam dan Lapang Sasar Menembak Subang.

Dalam perkembangan berkaitan, pendaftaran kontinjen negeri melalui Sistem Pengurusan Sukan (Game Management System – GMS) telah dibuka bermula 2 Januari lalu hingga 13 Februari ini, selain perancangan latihan sukarelawan SUKMA yang akan digerakkan secara berperingkat.

Nazwan turut memaklumkan bahawa majlis perasmian SUKMA XXII akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, menjadikannya antara kelainan utama penganjuran kali ini berikutan Stadium Shah Alam sedang melalui proses pembinaan semula. 

Secara keseluruhan, SUKMA XXII akan mempertandingkan 37 jenis sukan melibatkan 474 acara pingat, manakala senarai acara PARA SUKMA masih dalam proses pemuktamadan.

Sementara itu, Abdul Karim menegaskan Sarawak akan menghantar kontinjen besar dan bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan yang dimenangi sebelum ini, sambil mengakui cabaran sebenar adalah beraksi di gelanggang lawan memandangkan Selangor antara negeri paling berjaya dalam sejarah SUKMA.

“Kita sedar Selangor adalah kuasa besar SUKMA. Namun Sarawak akan membuat persiapan rapi dan memberi saingan terbaik. Jika mampu mempertahankan kejuaraan di negeri lawan, itu ujian sebenar,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Zii Jia mahu kembali dengan prestasi, bukan sekadar nama
Next: Terbuka Malaysia 2026: Meskipun sakit, Soon-Huat-Shevon bangkit cipta kemenangan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.