
NEW YORK: Madonna, artis wanita dengan jualan album tertinggi sepanjang zaman, mengumumkan semalam bahawa beliau akan melancarkan album muzik tarian baharu pada tahun hadapan.
Penyanyi berusia 67 tahun itu kembali bekerjasama dengan label Warner Records, yang pernah menerbitkan lagu-lagu hit awalnya seperti Like a Virgin dan Holiday pada era 1980-an.

Beliau meninggalkan Warner pada 2007 selepas menandatangani kontrak besar bersama label rakaman Live Nation.
“Saya gembira dapat bekerjasama semula dan menantikan masa depan menghasilkan muzik, melakukan perkara yang tidak dijangka, sambil mungkin mencetuskan beberapa perbincangan yang perlu,” kata pemenang tujuh Anugerah Grammy itu dalam satu kenyataan.
Album baharu ini merupakan rakaman studio pertamanya dalam tempoh tujuh tahun.
Ia akan diterbitkan oleh Stuart Price, DJ dan penulis lagu yang turut terlibat dalam penerbitan album Confessions on a Dance Floor pada 2005.
“Kami berbesar hati menyambut kepulangan Madonna ke rumah lamanya di Warner Records. Madonna bukan sekadar artis beliau ialah acuan, pelanggar peraturan, dan kuasa budaya yang tiada tandingan,” kata Tom Corson dan Aaron Bay-Schuck, pengerusi bersama Warner Records.
Antara pelbagai pengiktirafan lain, Madonna telah dimasukkan ke dalam Rock & Roll Hall of Fame pada 2008. Beliau telah menjual lebih 400 juta rakaman di seluruh dunia. – AFP