KUCHING, 14 November: Ketibaan dua penyanyi Indonesia, Nadhif Basalamah dan Ari Lesmana di Kuching semalam menerusi penerbangan AirBorneo dari Jakarta membawa makna tersendiri apabila mereka merupakan antara penumpang yang menggunakan laluan terus sulung syarikat penerbangan itu ke Sarawak.
Kedua-dua artis berkenaan tiba bagi memenuhi undangan untuk membuat persembahan pada konsert Manggung di Muara 2026 yang berlangsung di Esplanad Tebingan Sungai Kuching, semalam.
Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan acara berkenaan, malah turut memperlihatkan peranan hubungan udara terus antara Jakarta dengan Kuching dalam memudahkan pergerakan penggiat seni dan pengunjung dari rantau ini.
Laluan terus Jakarta-Kuching yang mula beroperasi semalam itu merupakan laluan pertama AirBorneo ke Indonesia, sekali gus membuka akses penerbangan lebih mudah antara Sarawak dengan salah satu pusat ekonomi dan kreatif utama di rantau ini.
Manggung di Muara 2026 menghimpunkan barisan artis dari Malaysia, Indonesia dan Brunei, termasuk Aisha Retno dan Aziz Harun, selain menampilkan bakat tempatan Sarawak seperti Naki, Adruce Azman dan Shasha Ningkan.
Penganjuran acara itu turut memperlihatkan potensi hubungan udara serantau dalam menyokong perkembangan industri kreatif, pelancongan serta penganjuran acara berskala antarabangsa di Sarawak.
Oleh Adele Rissa




