Nadhif, Ari Lesmana, Aisha Retno, Aziz Harun gegarkan Manggung Di Muara esok

Facebook
WhatsApp
BARISAN artis serantau yang bakal membuat persembahan pada konsert Manggung Di Muara 2026 di Kuching Waterfront Esplanade, esok, terdiri daripada Nadhif Basalamah, Ari Lesmana, Aisha Retno dan Aziz Harun.

KUCHING, 13 November: Barisan artis popular dari Malaysia, Indonesia dan Brunei bakal menghangatkan suasana Kuching Waterfront Esplanade menerusi konsert terbuka Manggung Di Muara 2026, esok.

Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Nadhif Basalamah dan Ari Lesmana dari Indonesia, Aisha Retno dari Malaysia serta Aziz Harun dari Brunei.

Konsert anjuran Wazai Creative Solution itu turut menampilkan bakat tempatan, termasuk Naki, Adruce Azman dan Shasha Ningkan sebagai platform mengetengahkan penggiat seni Sarawak bersama artis serantau.

Penganjuran Manggung Di Muara 2026 bukan sahaja menawarkan pengalaman menikmati persembahan muzik secara langsung, malah menggabungkan elemen hiburan, kebudayaan dan pelancongan di salah satu lokasi ikonik bandar raya Kuching.

Menurut pihak penganjur, sebanyak 3,000 tiket telah terjual setakat 9 November lalu, dengan acara berkenaan menyasarkan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Menariknya, konsert itu turut mendapat kerjasama AirBorneo sebagai Rakan Penerbangan yang membawa artis dan pasukan produksi masing-masing dari Kuala Lumpur serta Jakarta ke Kuching.

Penerbangan dari Jakarta hari ini turut mencatat sejarah sebagai penerbangan sulung bagi laluan terus baharu Jakarta-Kuching kendalian AirBorneo.

Kerjasama itu juga menandakan acara konsert pertama yang mendapat sokongan syarikat penerbangan berkenaan sejak memulakan operasi pada 2 Januari 2026.

Selain persembahan muzik, pengunjung turut berpeluang mengunjungi ‘Sorong Sorong Market’ yang menghimpunkan lebih 20 peniaga makanan dan minuman tempatan.

Pasar berkenaan dibuka secara percuma kepada orang ramai dan boleh dikunjungi tanpa perlu membeli tiket konsert.

Penganjur berharap acara itu dapat menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Sarawak, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi sektor perniagaan, perhotelan, pengangkutan dan pelancongan.

Manggung Di Muara 2026 turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Kemasukan awal ke lokasi konsert bermula 5.00 petang, manakala kemasukan biasa dibuka pada 6.00 petang.

Tiket boleh didapati menerusi laman web www.saratic.com.