Sisa plastik jadi produk kreatif, MDLA perkasa amalan 3R komuniti Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
PROGRAM 3R anjuran MDLA itu melibatkan komuniti di Rumah Nading, Sebangki Pandak dan Rumah Roslin Nuja, Batu Bebini Baruh, Lubok Antu. Foto: MDLA

LUBOK ANTU, 14 November: Bahan buangan seperti straw dan sudu plastik yang lazimnya berakhir di tapak pelupusan sampah kini diberi nafas baharu menerusi penghasilan produk kraf kreatif melalui Program 3R (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula) anjuran Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA).

Program yang berlangsung semalam itu melibatkan komuniti di Rumah Nading, Sebangki Pandak dan Rumah Roslin Nuja, Batu Bebini Baruh, dengan penyertaan golongan suri rumah, pesara serta usahawan pemula.

Menariknya, peserta berpeluang mempelajari teknik menghasilkan kraf berasaskan resin menerusi aktiviti Projek Kitar Semula Resin yang dikendalikan oleh Angela Ann Awal daripada Sister’s Art and Craft.

Menerusi aktiviti itu, bahan terpakai dan barangan plastik sekali guna dimanfaatkan semula sebagai produk kraf yang lebih menarik serta mempunyai nilai tambah.

Inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal di peringkat isi rumah, malah membuka ruang kepada komuniti untuk meneroka potensi ekonomi melalui kreativiti dan kemahiran menghasilkan produk kraf.

Lebih jauh, produk yang dihasilkan berpotensi dikembangkan sebagai produk tarikan tempatan bagi menyokong pembangunan eko-pelancongan di Daerah Lubok Antu.

Dalam sesi penerangan, peserta turut dimaklumkan bahawa MDLA menguruskan dua tapak pelupusan sampah dengan kos penyelenggaraan melebihi RM500,000 setahun.

Sehubungan itu, amalan 3R dilihat sebagai langkah penting untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus membantu memanjangkan jangka hayat kemudahan berkenaan.

Program tersebut menerima sambutan serta kerjasama positif daripada komuniti setempat, membuktikan bahawa usaha menjaga kelestarian alam sekitar boleh bermula dengan perubahan kecil di peringkat isi rumah.

Melalui pendekatan pendidikan, kreativiti dan keusahawanan, MDLA terus menggalakkan masyarakat melihat bahan buangan bukan sekadar sampah, sebaliknya sumber yang masih mempunyai nilai sekiranya diurus dan dimanfaatkan dengan bijak.

Oleh Adi Safarman