Rosalia cipta rekod baharu di Anugerah Latin Grammy

Facebook
WhatsApp
ROSALIA cipta rekod baharu di Anugerah Latin Grammy. Foto AFP

WASHINGTON, 13 November: Penyanyi Sepanyol Rosalia meraih lima anugerah pada Anugerah Latin Grammy, sekali gus mencipta rekod sebagai wanita pertama memenangi kategori Album Terbaik sebanyak tiga kali, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kemenangan album Lux dalam kategori Album Terbaik pada majlis anugerah itu pada Khamis menjadikan Rosalia penerima anugerah berkenaan sebanyak tiga kali, selepas memenanginya menerusi album El Mal Querer pada 2019 dan Motomami pada 2022.

Sepanjang sejarah penganjuran anugerah itu yang bermula pada 2000, hanya penyanyi Juanes, Alejandro Sanz dan Juan Luis Guerra pernah mencapai kejayaan berkenaan.

Guerra, pemuzik genre merengue dan bachata, memegang rekod dengan empat kemenangan dalam kategori Album Terbaik.

Pada majlis yang berlangsung di Las Vegas itu, lagu La Perla memenangi kategori Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik, manakala album Lux turut meraih anugerah Album Alternatif Terbaik.

Rosalia, yang kebanyakannya menyanyi dalam bahasa Sepanyol selain beberapa bahasa lain, merupakan antara artis paling berjaya sepanjang dekad lalu.

Muziknya menggabungkan unsur flamenco dengan pop, reggaeton dan R&B.

Anugerah Latin Grammy mengiktiraf rakaman muzik cemerlang yang kebanyakannya diterbitkan dalam bahasa Sepanyol, Portugis atau bahasa pribumi Amerika Latin. – Bernama