SIBU, 14 November: Legasi Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang dalam memperjuangkan kebajikan kanak-kanak berkeperluan khas terus diabadikan apabila sebuah bangunan baharu Persatuan Autisme Sibu (SAA) dinamakan sempena nama beliau.
Bangunan yang dikenali sebagai Wisma Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang itu menjadi penghormatan kepada sumbangan Allahyarhamah dalam bidang kebajikan dan pembangunan masyarakat, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan sokongan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penghormatan itu amat bermakna kepada keluarganya memandangkan Allahyarhamah mempunyai hubungan rapat dengan Sibu, tempat beliau dibesarkan, selain banyak menabur bakti dalam kegiatan kemasyarakatan.
“Ini merupakan satu penghormatan kepada keluarga kami, khususnya kepada saya secara peribadi, apabila salah sebuah bangunan dinamakan sempena nama Allahyarham isteri saya.
“Bagi kami, ini merupakan satu penghormatan untuk mengenang segala yang telah dilakukan oleh Allahyarham, khususnya kepada masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan upacara penamaan bangunan baharu SAA bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Pusat Agape Sibu di Jalan Alan, hari ini.
Mengimbas sumbangan Allahyarhamah, Abang Johari berkata, antara usaha penting yang pernah digerakkan isterinya ialah mempelopori penubuhan Pusat Autisme di Kuching selepas menyedari keperluan menyediakan sokongan lebih baik kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
Katanya, Allahyarhamah amat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi golongan itu dan mahu memastikan mereka mendapat peluang menjalani kehidupan lebih baik apabila meningkat dewasa.
“Beliau pernah meluahkan rasa sedih melihat keadaan kanak-kanak berkeperluan khas. Mereka perlu diberikan sokongan dan diharapkan dapat menjalani kehidupan yang normal apabila dewasa kelak,” katanya.
Selain memberi perhatian kepada pendidikan dan kebajikan kanak-kanak berkeperluan khas, Allahyarhamah turut aktif menggerakkan pelbagai kegiatan kebajikan menerusi Badan Amal Tenaga Isteri-isteri Sarawak (Sabati).
Menurut Abang Johari, antara usaha yang dilakukan ialah mendapatkan sumbangan daripada premis perniagaan dan syarikat bagi membiayai pelbagai program kebajikan badan berkenaan.
“Sejak awal lagi, beliau pergi dari satu kedai ke satu kedai serta mengunjungi syarikat-syarikat untuk mendapatkan sumbangan bagi aktiviti kebajikan Sabati. Beliau meneruskan usaha itu sehingga akhir hayatnya,” katanya.
Beliau berkata, usaha Allahyarhamah itu meninggalkan legasi yang terus dipelihara, termasuk melalui penglibatan ahli keluarga dalam meneruskan kerja kebajikan yang pernah diperjuangkannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari mengesahkan menerima cadangan Pusat Agape Sibu untuk membina jambatan pejalan kaki bertingkat yang menghubungkan pusat berkenaan dengan Kompleks Sukan Tun Tuanku Haji Bujang.
Bagaimanapun, beliau berkata cadangan yang dikemukakan Pengerusi Persatuan Khidmat Masyarakat Sibu, Datuk Tiong Thai King itu akan diteliti tanpa sebarang komitmen dapat diberikan buat masa ini berikutan mandatnya telah berakhir.
“Saya rasa saya akan meneliti cadangan anda. Namun, buat masa ini saya tidak dapat memberikan sebarang ulasan kerana saya tidak mempunyai kuasa. Saya tidak mempunyai kuasa pada masa ini. Mandat tersebut bukan lagi di bawah saya,” katanya.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang; Ahli Pengasas Pusat Agape Sibu, Dato Sri Wong Soon Koh; Pengerusi merangkap Ahli Pengasas Pusat Agape Sibu, Datuk Tiong Thai King serta Naib Pengerusi Pusat Agape Sibu merangkap Pengerusi Pengelola Majlis, Dato Thomas Tieng.
Oleh Tarani Lanting




