MALUDAM: Sebanyak 35 pasukan bakal berentap dalam penganjuran Maludam Explore Race 2.0 yang diadakan pada 27 hingga 28 September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pihak penganjur menyediakan hadiah terkumpul berjumlah RM14,000 bagi tempat pertama hingga ke-10.
“Johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang hadiah berjumlah RM3,000 dan RM1,800.
“Pemenang tempat keempat dan kelima meraih hadiah wang tunai RM900 dan RM800 manakala pemenang tempat keenam dan ketujuh bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan RM600.
“Tiga tempat terakhir iaitu pemenang di tempat kelapan, kesembilan dan ke-10 membawa pulang hadiah wang tunai RM500, RM400 dan RM300,” katanya.
Dayang Noorazah berkata, konsep diketengahkan menerusi Maludam Explore Race kali ini hampir sama seperti Amazing Race dan Treasure Hunt, namun acara kali ini pasti lebih mencabar dan menarik daripada sebelum ini.
Penganjuran Maludam Explore Race 2.0 yang diadakan pada penghujung minggu ini, katanya, berharap boleh diangkat sebagai salah satu produk pelancongan utama di negeri ini.
“Penganjuran Maludam Explore Race ini mampu menarik kehadiran pengunjung untuk berkunjung ke Maludam terutamanya ke Taman Negara Maludam, sekaligus dapat merasai keunikan dan keindahan alam semula jadi serta budaya setempat kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Dayang Noorazah berterima kasih dengan pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) kerana sanggup bekerjasama untuk menjayakan program seumpama ini.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah menjelaskan, empat artis jemputan bakal memeriahkan suasana penganjuran Maludam Explore Race 2.0 iaitu Lan Solo, Nai Dinamik, Norafizah Busman dan Faris Malek yang akan membuat persembahan pada Jumaat ini mulai 8.30 malam di pekarangan Pasar Baru Maludam.
Oleh Adi Safarman