KUCHING: Syarikat korporat, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan tampil membantu penajaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Keseluruhannya sebanyak 27 penaja dengan sumbangan tunai dan barangan berjumlah RM13,040,360.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya menghargai sumbangan murah hati dan komitmen teguh penaja.
“Kami menghargai sumbangan dan sokongan daripada penaja Platinum, Emas, Perak dan Gangsa yang terdiri daripada badan korporat ternama, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan penaja SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata perkongsian penaja bukan sahaja
membantu dalam menganjurkan acara sukan negara yang berjaya tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Katanya, ini akan memupuk juara masa depan dan mempromosikan komuniti yang lebih sihat dan aktif.
“Seperti yang diketahui, modal insan dan pembinaan kapasiti adalah salah satu tonggak yang penting untuk Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) bagi memastikan kita menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Salah satu sebab kerajaan Sarawak bersetuju untuk menganjurkan SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024 adalah bahawa kita ingin mengenal pasti dan memupuk bakat dalam sukan,” katanya.
Jelasnya, sambil melihat ke hadapan, Sarawak yakin dengan sokongan berterusan daripada penaja, kerajaan Sarawak boleh meningkatkan taraf sukan di negara ini dan memperkasakan lebih ramai atlet muda untuk cemerlang dalam bidang pilihan mereka.
Sarawak menjadi tuan rumah bagi acara sukan kebangsaan dwitahunan iaitu SUKMA dan Para SUKMA SARAWAK 2024 buat kali ketiga selepas 1990 dan 2016.
SUKMA dan Para SUKMA merentas sembilan bahagian di Sarawak yang melibatkan 37 sukan, 487 acara dan lebih 10,000 atlet dan pegawai teknikal.
Oleh Nur Ain Otsman