MERSAL Abang Rosli merakam gambar bersama pelajar pada Majlis Graduasi Batch 1 Program Scaffolding
Industri Minyak Dan Gas di Auditorium Yayasan Sarawak di Kuching, kelmarin. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Yayasan Sarawak diamanahkan untuk melaksanakan aktiviti dan program yang menyumbang kepada pembangunan, pendidikan dan modal insan berkualiti di Sarawak.
Pengarahnya, Mersal Abang Rosli berkata, Yayasan Sarawak komited memainkan peranan bagi memastikan generasi muda mendapat peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran.
“Dengan penekanan dan galakan khusus diberikan kepada belia yang memilih menceburi dan meneroka bidang kemahiran dan teknikal.
“Sekiranya belia tidak menceburi bidang teknikal dan vokasional seperti Kemahiran Penyediaan Perancah, manfaat tersebut akan terlepas ke tangan orang lain,”katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Kumpulan 1, Program Scaffolding Industri Minyak dan Gas di Auditorium Yayasan Sarawak, kelmarin.
Tambah beliau, di Sarawak, hampir separuh daripada projek-projek adalah melibatkan pembinaan infrastruktur.
“Kerajaan Sarawak di bawah Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meletakkan negeri ini sebagai produktiviti tinggi yang mampu melahirkan generasi berdaya saing menjelang 2030.
“Justeru, jika orang tempatan tidak memanfaatkan sektor tersebut, peluang pekerjaan yang lumayan ini akan terlepas kepada tenaga kerja asing.
“Dan agak merugikan jika rakyat tempatan tidak mengambil peluang tersebut kerana hampir separuh daripada projek-projek besar di negeri ini melibatkan sektor pembinaan infrastruktur,”ujarnya.
Jelasnya lagi, sehingga kini Yayasan Sarawak telah menaja seramai 525 pelatih di IKM Bintulu dan ADTEC Kemaman, Terengganu.
“Saya difahamkan bahawa kesemua 525 pelatih berkenaan telah lulus dengan memperoleh Sijil Department Of Occupational Safety and Health atau singkatannya, DOSH.
“Malah kesemua mereka telah ditempatkan bekerja sebagai scaffolder di Pengerang Johor, Melaka dan Terengganu sebaik sahaja menamatkan kursus.”
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil kecekapan kemahiran dalam bidang pemasangan perancah kepada 30 pelajar tajaan Yayasan Sarawak, di samping terus menerima tawaran bekerja di bawah Syarikat Omniwise.
Oleh AZREEN KERIA