MIRI: Kerajaan Sarawak bersedia menerima formula perkongsian hasil dengan Kerajaan Persekutuan yang mengambil kira keadaan fiskal negara, sama ada ketika pendapatan meningkat atau menurun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pendekatan itu mencerminkan kesediaan Sarawak untuk bersikap rasional dan fleksibel dalam rundingan berhubung perkongsian hasil negara.
“Kalau pendapatan negara bertambah, maka ia hendaklah dikongsi dengan Sarawak melalui satu formula, sama ada 10 peratus daripada pendapatan itu atau lima peratus mengikut keadaan fiskal negara.
“Kalau yang banyak, kongsi banyak. Kalau yang rendah, kongsi rendah. Sarawak fleksibel dan rasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, hari ini.

Abang Johari berkata, rundingan berhubung perkongsian hasil itu kini sedang dibincangkan antara Kementerian Kewangan Sarawak dengan Kementerian Kewangan Persekutuan.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bertujuan mencari penyelesaian yang adil dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara, akauntabiliti serta keupayaan kerajaan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata rundingan antara Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan turut memberi tumpuan kepada cadangan meningkatkan perwakilan kedua-dua negeri berkenaan di Dewan Rakyat.
Katanya, Perdana Menteri telah bersetuju supaya Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat, tertakluk kepada formula yang akan dipersetujui.
Beliau menegaskan, Sarawak akan terus memperjuangkan kepentingannya secara rasional bagi memastikan kedudukan negeri itu dalam pembangunan ekonomi negara terus diberi perhatian.
Oleh Liong Chai Ling




