SDCA mahu lahirkan duta budaya Dayak ke peringkat antarabangsa

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN SDCA, Bridgette Astra Donald (tengah) bersama barisan kepimpinan Persatuan Kebudayaan Dayak Sarawak (SDCA) bagi penggal 2026-2028 selepas pengumuman kepimpinan baharu persatuan itu di Kuching, hari ini.

KUCHING: Persatuan Kebudayaan Dayak Sarawak (SDCA) mahu melahirkan lebih ramai generasi muda yang bukan sahaja mengenali warisan sendiri, malah mampu menjadi duta budaya Dayak di peringkat nasional dan antarabangsa.

Presiden SDCA, Bridgette Astra Donald, berkata usaha itu menjadi antara fokus utama persatuan bagi penggal 2026 hingga 2028, selain pembangunan belia, kepimpinan wanita, pendidikan, pemeliharaan budaya, pendigitalan serta pembangunan bakat.

Menurutnya, SDCA mahu memastikan generasi muda mempunyai keyakinan untuk membawa dan memperkenalkan budaya Dayak kepada masyarakat yang lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.

“Untuk penggal 2026 hingga 2028, kita mahu bergerak lebih jauh. Kita mahu SDCA menjadi sebuah organisasi yang lebih kukuh, profesional, relevan dan berimpak, selaras dengan visi dan misi persatuan,” katanya dalam kenyataan media sempena pengenalan barisan kepimpinan baharu SDCA bagi penggal 2026 hingga 2028, hari ini.

Bridgette berkata, walaupun SDCA masih sebuah pertubuhan yang muda, persatuan itu sudah mula membina nama menerusi pelbagai program kebudayaan, pembangunan profesionalisme, penglibatan belia dan komuniti, serta kerjasama dengan pelbagai pihak.

Katanya, SDCA juga akan memperluas jaringan strategik dengan agensi kerajaan, sektor korporat, institusi pendidikan, media dan organisasi kebudayaan bagi memperkukuh usaha memelihara, memperkasakan dan memodenkan budaya Dayak.

Dalam pada itu, Bridgette yang dikekalkan sebagai Presiden SDCA bagi penggal baharu menyifatkan mandat berkenaan sebagai satu amanah besar yang akan digalas bersama seluruh barisan kepimpinan dan ahli persatuan.

“Kita mungkin datang daripada latar belakang, pengalaman dan generasi yang berbeza, tetapi kita disatukan oleh satu tujuan, iaitu memastikan budaya Dayak terus hidup, berkembang dan dihormati oleh generasi akan datang.

“Kita bukan sekadar membina sebuah persatuan. Kita sedang membina legasi untuk generasi akan datang,” katanya.

Bagi memperkukuh tadbir urus organisasi, SDCA turut melantik Gerald Empaling sebagai Penasihat Undang-Undang dan Datuk Dr Neilson Ilan Mersat sebagai Penasihat Tatakelola bagi penggal 2026 hingga 2028.

Bridgette berkata, kehadiran barisan penasihat berpengalaman itu dijangka dapat memperkukuh tadbir urus, memberikan pandangan strategik serta membantu SDCA merangka hala tuju dan inisiatif yang lebih tersusun dan berimpak.

Beliau turut menyeru semua ahli dan barisan kepimpinan baharu supaya terus bekerjasama sebagai satu pasukan, mengetepikan perbezaan serta meletakkan kepentingan dan imej SDCA sebagai tanggungjawab bersama.

Barisan kepimpinan SDCA bagi penggal 2026 hingga 2028 turut terdiri daripada Peter Herbert Anak Ahat sebagai Timbalan Presiden, Rofina Anak Linga sebagai Setiausaha, Jenny Crystal Anak Mansang sebagai Penolong Setiausaha dan Chris Marvinson Anak Libau sebagai Bendahari.

Benderies Panto Anak Jilan dan Chelsea Tari Anak Pencha pula dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Biasa, manakala Ronny Anak Neru sebagai Juruaudit Dalaman.

SDCA menyifatkan penggal baharu itu sebagai fasa untuk memperkukuh organisasi, memperluas jaringan serta membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda dan wanita untuk memainkan peranan dalam pembangunan budaya.

Dengan mengangkat semangat perpaduan, profesionalisme dan komitmen bersama, SDCA mahu memastikan budaya Dayak terus dibawa dengan penuh kebanggaan dan maruah, selain kekal relevan dalam perkembangan dunia digital.

Oleh Afiq Sallehi

Suasana pilu iringi kepulangan mendiang Debra

PADAWAN: Suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga mendiang Debra Moset apabila jenazah jururawat yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS)