Agensi Pembangunan Miri dicadang percepat pembangunan pinggir bandar

Facebook
WhatsApp
SENTIASA DI HADAPAN....Abang Johari bersama ahli PBB dan kepimpinan PBB di utara Sarawak sentiasa mendengar suara akar umbi.

MIRI: Kerajaan Sarawak bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan sebuah agensi pembangunan khusus bagi kawasan pinggir Miri bagi mempercepat pelaksanaan pembangunan di kawasan berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata persetujuan itu dibuat susulan permintaan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, supaya sebuah agensi pembangunan diwujudkan bagi kawasan pinggir Miri.

Katanya, penubuhan agensi berkenaan bertujuan memenuhi keperluan pembangunan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar Miri yang mempunyai potensi untuk terus berkembang.

“Atas prinsip, kita bersetuju untuk membangunkan kawasan-kawasan luar Miri, Miri dan pinggirannya, termasuk Lambir dan Marudi.

“Mungkin kita bangunkan Agensi Pembangunan Miri,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pendekatan berkenaan boleh dilaksanakan menerusi model agensi pembangunan seperti yang telah diwujudkan di kawasan lain di Sarawak.

Beliau berkata, antara kawasan yang sedang diberi perhatian ialah Beraya New Township yang dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan pinggir Miri.

Katanya, agensi khusus itu juga dapat membantu menyelaras pelaksanaan pembangunan secara lebih berkesan di kawasan berkenaan.

Oleh Adeng Edrus