Op Samseng Jalanan: 99 motosikal disita, remaja 17 tahun ditahan

Facebook
WhatsApp
PENUNGGANG motosikal berkumpul sebelum diperiksa polis dalam Op Samseng Jalanan di Kuching.

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun dan menyita 99 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Tun Sallehuddin, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu, berkata operasi tersebut dijalankan dari 8.30 malam pada 12 September hingga 6.00 pagi semalam.

Operasi itu melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuching.

Katanya, operasi tersebut disertai empat pegawai kanan polis dan 34 anggota bagi membanteras aktiviti samseng jalanan serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang lalu lintas.

“Dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun telah ditahan, manakala sebuah motosikal dirampas selepas dia disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

SEBAHAGIAN daripada 99 motosikal yang disita polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tun Sallehuddin, Kuching.

Alexson berkata, seramai 208 individu dan 187 kenderaan telah diperiksa, manakala 99 motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut mengeluarkan 222 keping saman PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan serta tidak mengubah suai struktur asal kenderaan.

Oleh Connie Chieng