Lelaki Serian rugi RM11,800 terpedaya iklan jual kereta di Facebook

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

SERIAN: Seorang lelaki berusia 34 tahun kerugian RM11,800 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kenderaan yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Serian, Supt Freddy Bian Stanislaus Bian, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang terlihat iklan penjualan sebuah Perodua Alza 1.5 AV berwarna hitam keluaran tahun 2022 ketika berada di kediamannya di Serian pada 10 September lalu.

Mangsa yang berminat kemudian berhubung dengan individu yang dipercayai sebagai penjual melalui aplikasi WhatsApp.

Pada 11 September, mangsa diminta memberikan beberapa dokumen peribadi, termasuk salinan kad pengenalan, lesen memandu dan alamat e-mel, selain membuat bayaran RM2,500 sebagai yuran tempahan.

Selepas pembayaran dibuat, mangsa menerima invois dan dimaklumkan bahawa seorang individu lain akan menguruskan penghantaran kenderaan berkenaan.

Mangsa kemudiannya diarahkan membuat beberapa bayaran tambahan secara berperingkat atas pelbagai alasan, termasuk urusan penghantaran dan proses pemulangan wang.

Keseluruhannya, mangsa membuat empat transaksi ke dua akaun penerima berbeza dengan jumlah keseluruhan RM11,800.

Pada kira-kira 10.44 pagi semalam, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM5,600 kononnya bagi tujuan “akaun keselamatan”.

Walau bagaimanapun, mangsa tidak meneruskan pembayaran tersebut selepas mula mengesyaki dirinya telah ditipu sebelum tampil membuat laporan polis.

Freddy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan urusan pembelian kenderaan melalui media sosial atau platform dalam talian.

Beliau menggesa pembeli memastikan kewujudan kenderaan berkenaan dan membuat pemeriksaan fizikal sebelum sebarang bayaran dibuat, selain tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu rendah berbanding dengan harga pasaran.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya diminta membuat pembayaran ke beberapa akaun bank atau akaun pihak ketiga. Mereka juga diingatkan supaya tidak membuat bayaran tambahan atas alasan seperti yuran tempahan, caj penghantaran, wang keselamatan atau proses bayaran balik tanpa pengesahan yang sah.

Semakan nombor akaun bank dan nombor telefon juga boleh dibuat melalui portal Semak Mule sebelum sebarang transaksi dilakukan.

Mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Oleh Connie Chieng