BEBERAPA pemain skuad kebangsaan mungkin berdepan cabaran baharu beraksi di posisi berbeza pada baki saingan kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura.
Ia berikutan, Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe bercadang melakukan penggiliran pemain bagi mengharungi jadual padat saingan peringkat kumpulan, selain faktor kekurangan pemain selepas kehilangan khidmat dua anak buahnya yang disahkan positif Covid-19.
Mengetahui pendekatan itu mempunyai risiko tersendiri, Cheng Hoe tetap optimis barisan pemainnya mempunyai keupayaan untuk menggalas tugas tersebut dengan baik, meskipun terpaksa diturunkan di posisi berlainan.
“Kita tahu pasukan ada beberapa pemain senior dan pemain muda yang mampu galas tugas tersebut dan boleh beri keseimbangan dalam pasukan.
“Kalau lihat jadual agak padat, kita ada tiga perlawanan (pertama) berturut-turut selang dua hari, sebab itu setiap pemain kena bersedia dengan kemungkinan ada penggiliran dan ada posisi agak lain, mereka terpaksa jalankan tugas itu,” katanya pada sidang media skuad kebangsaan secara maya, semalam.
Penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid dan pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim, disahkan positif Covid-19 selepas keputusan ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR), yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, Jumaat lepas.
Kedua-dua pemain tersebut yang tidak bergejala diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari, sekali gus terlepas tiga aksi pertama Kumpulan B menentang Kemboja kelmarin, Laos (hari ini) dan juara bertahan Vietnam (Ahad).
Malaysia akan menutup saingan kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember dan Cheng Hoe berharap tiada lagi pemainnya ditimpa nasib sama atau mengalami kecederaan serius, yang boleh menjejaskan perjalanan pasukan.
“Kita berharap dan berdoa, tidak ada mana-mana pemain lain yang kena Covid-19. Salah satu daripada syarat AFF kita perlu kekalkan Faisal Halim dan kita harap dia dapat pulih secepat mungkin,” katanya.
Pada masa sama, pengendali berusia 53 tahun itu berkata barisan kejurulatihan masih berbincang untuk menggantikan Muhammad Khairulazhan, dengan penjaga gol lain.
“Kemungkinan besar dia takkan bersama skuad (baki kempen). Kita juga belum tentukan pemain mana akan dipanggil, ia masih di peringkat perbincangan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” kata Cheng Hoe.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menghantar permohonan rasmi kepada AFF untuk menukar pemain di posisi penjaga gol skuad kebangsaan, pada kempen kejuaraan itu.-Bernama