KUCHING: Sarawak bakal menganjurkan sebuah temasya sukan antarabangsa berskala lebih besar pada 2029 yang dijangka melibatkan penyertaan 57 negara.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran tersebut bakal menyusul selepas Sarawak menjadi penganjur bersama Sukan SEA Malaysia 2027.
“Penganjuran bersama Sukan SEA 2027 bukanlah yang terakhir kerana kita telah berjaya mendapatkan satu lagi penganjuran pada 2029, iaitu sebuah kejohanan atau acara sukan yang jauh lebih besar.
“Namun, saya akan membiarkannya untuk diumumkan pada masa yang lain kerana acara tersebut akan melibatkan 57 negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hitung Detik Setahun Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak di sini, malam tadi.
Menurut Karim, skala penganjuran yang lebih besar itu memerlukan Sarawak membuat perancangan dan persediaan lebih awal bagi memastikan negeri ini bersedia menerima kehadiran peserta serta tetamu antarabangsa.
Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kapasiti penginapan, venue pertandingan serta kemudahan sokongan bagi menampung keperluan penganjuran berkenaan.
Justeru, beliau berkata, persediaan yang dilakukan ketika ini bukan sahaja penting bagi memastikan kelancaran Sukan SEA 2027, malah menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan Sarawak untuk menganjurkan temasya sukan antarabangsa yang lebih besar pada masa depan.
Oleh Norman B





