Niaga hadapan emas dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan, disokong oleh jangkaan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan hasil Perbendaharaan AS baru-baru ini, berpotensi memberikan peningkatan selanjutnya untuk harga emas semerta.

“Kemungkinan, harta semerta emas akan cuba melepasi paras AS$4,400 seauns minggu depan terutamanya apabila harga minyak mentah dijangka kekal stabil dan condong ke arah penurunan,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas mingguan, kontrak September 2026 meningkat kepada AS$4,393.20 setiap auns troy daripada AS$4,353.50, kontrak Oktober 2026 menambah kepada AS$4,411.20 setiap auns troy daripada AS$4,368.70, dan kontrak November 2026 mengukuh kepada AS$4,428.50 setiap auns troy daripada AS$4,384.00 setiap auns troy. 

Sementara itu, kontrak Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 meningkat kepada AS$4,436.30 setiap auns troy berbanding AS$4,391.80 sebelumnya. 

Jumlah dagangan minggu berkurang kepada 1,152 lot daripada 1,492 lot seminggu lepas, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 307 kontrak daripada 469 kontrak. 

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,368.10 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 17 September 2026. – Bernama