Jerebu: 20 kawasan seluruh negara catat IPU tidak sihat

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9.00 pagi ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi dicatatkan di Kuching (169) dan IPD Serian (169) di Sarawak, manakala enam kawasan di negeri itu turut merekodkan IPU tidak sihat, iaitu Samarahan (163), Sri Aman (162), Sibu (159), Sarikei (152), Bintulu (135) dan Kapit (118).

Dua kawasan di Perak turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Seri Manjung (164) dan Tanjung Malim (113), manakala di Selangor melibatkan Shah Alam (157), Petaling Jaya (139) dan Johan Setia (113).

Selain itu, Kuala Lumpur mencatatkan dua kawasan pada tahap tidak sihat, iaitu Batu Muda (155) dan Cheras (155), serta Putrajaya (154).

IPU tidak sihat turut dicatatkan di Nilai, Negeri Sembilan (151); Larkin, Johor (139); Bukit Rambai, Melaka (111); dan Tawau, Sabah (108).

Sementara itu, sebanyak 37 kawasan mencatatkan bacaan pada tahap sederhana, manakala 10 kawasan merekodkan bacaan baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya). – Bernama