PETRA JAYA, 25 November: Calon baharu GPS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie, mahu menjadikan pembangunan infrastruktur, khususnya cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Tebing Barat Sibu dengan Bawang Assan, antara keutamaannya.
Beliau berkata, kemudahan perhubungan yang lebih baik penting untuk menggalakkan pertambahan penduduk, sekali gus merancakkan aktiviti komersial di kawasan berkenaan.
Menurutnya, cadangan pembinaan jambatan itu pernah dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebagai usaha meningkatkan hubungan perhubungan dan membuka lebih banyak peluang pembangunan di Bawang Assan.
“Melalui cadangan itu, kita mahu meningkatkan jumlah penduduk dan seterusnya menarik lebih banyak aktiviti komersial ke kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Petra Jaya, hari ini.
Menurut Kevin, Bawang Assan yang merupakan kawasan separa bandar mempunyai potensi untuk terus berkembang sekiranya disokong kemudahan infrastruktur yang mencukupi.
Selain sektor perladangan dan pertanian sayur-sayuran, beliau turut melihat potensi dalam industri pembinaan kapal dan akuakultur sebagai bidang yang boleh mempelbagaikan kegiatan ekonomi di kawasan itu.
“Kita akan melihat bagaimana sektor pertanian dapat dibantu dengan lebih baik. Saya juga melihat potensi dalam bidang akuakultur dan kita akan berusaha meneroka peluang tersebut serta mengenal pasti sektor lain yang boleh dibangunkan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pertambahan penduduk bagi memastikan kemudahan pendidikan sedia ada di Bawang Assan terus dimanfaatkan, khususnya sekolah-sekolah yang telah lama beroperasi di kawasan itu.
Katanya, peningkatan jumlah penduduk diharap dapat membantu memastikan sekolah-sekolah berkenaan terus mempunyai bilangan pelajar yang mencukupi.
Kevin diumumkan sebagai calon GPS bagi kerusi berkenaan bagi menggantikan penyandang terdahulu, Dato Sri Wong Soon Koh, yang memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN Sarawak kali ini.
Wong, yang telah mewakili Bawang Assan selama hampir 35 tahun, sebelum ini menyatakan kesediaannya memberi laluan kepada pemimpin lebih muda serta menyokong calon yang dipilih GPS.
Kevin, 41, merupakan Ketua Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan. Beliau mempunyai pengalaman selama tiga tahun berkhidmat di kawasan berkenaan dan merupakan seorang juruukur bahan.
Oleh Adele Rissa




