Wajah Baharu GPS: Jack Liam (N.80 Batu Danau)

Facebook
WhatsApp
JACK Liam, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.80 Batu Danau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

PETRA JAYA, 25 November: Selepas lebih tiga dekad berkhidmat dalam perkhidmatan awam Sarawak, Datu Jack Liam mengambil keputusan bersara secara pilihan bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab baharu sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.80 Batu Danau.

Datu Jack, 55, berkata keputusan meninggalkan perkhidmatan awam dibuat bagi membolehkannya menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sekali gus membawa pengalaman pentadbiran dan pengurusan yang diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatannya kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata, sepanjang 30 tahun berkhidmat, 27 tahun dihabiskan bersama Jabatan Hutan Sarawak, manakala tiga tahun tujuh bulan lagi berkhidmat sebagai Pengawal Kualiti Alam Sekitar di Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.

Pengalaman luas dalam kedua-dua agensi itu turut memberi pendedahan kepadanya dalam bidang pengurusan hutan, pemuliharaan sumber asli, perlindungan alam sekitar dan penguatkuasaan peraturan berkaitan.

Rekod perkhidmatannya dalam Jabatan Hutan Sarawak turut menyaksikan beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah (Pemuliharaan dan Pembangunan Hutan) sebelum meneruskan khidmat dalam bidang pengurusan alam sekitar.

Jack yang berasal dari Kampung Bidang, Limbang berkata, beliau mahu menggunakan pengalaman dalam pentadbiran, pengurusan dan perancangan pembangunan untuk membawa kemajuan lebih menyeluruh ke Batu Danau.

Menurutnya, beliau menghargai sumbangan penyandang kerusi berkenaan, Dato Paulus Palu Gumbang, yang telah berkhidmat selama 20 tahun dan membawa pelbagai pembangunan kepada kawasan itu.

“Saya ingin membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan ini, selain memastikan projek yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan dan mengenal pasti pembangunan baharu berdasarkan keperluan di lapangan,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon GPS di Ibu Pejabat PBB, hari ini.

Beliau berkata, antara keperluan asas yang masih perlu diberi perhatian ialah kemudahan elektrik, bekalan air dan jalan raya, khususnya di kawasan yang masih memerlukan penambahbaikan.

Katanya, kawasan N.80 Batu Danau merangkumi lima kawasan utama iaitu Medihit, Medamit, Lubai, Ukong dan Batu Danau yang memerlukan perancangan pembangunan secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau mahu memastikan setiap kawasan mendapat perhatian yang adil dan inklusif supaya pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Saya mahu memastikan pembangunan yang dibawa adalah adil dan inklusif, meliputi semua kawasan N.80 serta dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat,” katanya.

Mengulas pendekatan yang mahu dibawanya sekiranya diberi mandat, Jack berkata, beliau bercadang menggunakan pendekatan perancangan strategik dari bawah ke atas dengan melibatkan ketua masyarakat, ketua kaum serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Katanya, pendekatan itu membolehkan keperluan sebenar penduduk dikenal pasti sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi bagi mendapatkan peruntukan mencukupi untuk pelaksanaan projek.

“Pengalaman yang saya peroleh melalui perkhidmatan awam, khususnya dalam aspek pentadbiran dan pengurusan, saya rasa sangat relevan untuk digunakan bagi membawa kemajuan di Batu Danau.

“Saya mahu ketua masyarakat, ketua kaum dan JKKK bersama-sama memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan penduduk,” katanya.

Dari segi akademik, Jack memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perhutanan dengan pengkhususan Pengurusan Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), selain Ijazah Sarjana Pengurusan Alam Sekitar dengan pengkhususan Perancangan Pembangunan dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beliau yang berbangsa Bisaya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Batu Danau sebelum melanjutkan persekolahan menengah di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri.

Jack berkata, beliau tidak pernah terlibat secara langsung dalam politik sebelum ini kerana terikat dengan tanggungjawab sebagai penjawat awam, namun pernah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan aktiviti berasaskan komuniti.

Beliau yang telah berkeluarga mempunyai empat orang anak yang kesemuanya sudah dewasa dan bekerja.

Jack merupakan antara 11 muka baharu yang diketengahkan GPS daripada keseluruhan 82 calon bagi menghadapi PRN Sarawak ke-13.

Oleh Shikin Mahmud