GPS tampilkan Nor-E-Fadzwie sebagai calon baharu di Kabong

Facebook
WhatsApp
WAJAH baharu GPS, Nor-E-Fadzwie Salleh (N.40 Kabong).

PETRA JAYA, 25 November: Berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang perjuangan politik, Nor-E-Fadzwie Salleh, calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, membawa pengalaman dalam sektor pembangunan dan pembinaan sebagai latar belakang sebelum menceburi arena politik secara lebih aktif.

Sebelum ini, beliau berkhidmat di Perbadanan Pembangunan Borneo dengan pengalaman dalam bidang pembangunan dan pembinaan di Serian.

Nor-E-Fadzwie berkata, penglibatannya dalam politik turut dipengaruhi latar belakang keluarga apabila Allahyarham datuknya, sudah aktif dalam perjuangan politik sejak zaman Allahyarham Tun Ahmad Zaidi.

“Sejak kecil, saya ingat lagi rumah saya selalu dijadikan bilik gerakan dan pusat operasi politik, bermula ketika saya di sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah memasuki institusi pengajian tinggi.

“Ketika itu saya hanya duduk bersama orang-orang tua dan mendengar perbualan mereka, tetapi lama-kelamaan saya mula bertanya mengenai perkara berkaitan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

Tambah beliau, bapanya turut membantu perjuangan politik Allahyarham datuknya, sekali gus memberikan pendedahan awal kepadanya mengenai kepentingan mendekati masyarakat.

“Pesanan Allahyarham datuk dan bapa saya supaya sentiasa menjaga adab serta membina hubungan rapat dengan penduduk menjadi pegangan dalam membawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Saya mahu meneruskan legasi keluarga dengan bekerjasama bersama kepimpinan parti, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh penduduk di kawasan Kabong,” jelasnya.

Menyentuh perancangan pembangunan kawasan itu, Nor-E-Fadzwie berkata, beliau berhasrat menyambung projek yang telah dirancang oleh bekas ADUN Kabong, Datuk Mohamad Chee Kadir.

“Saya akan berjumpa beliau untuk mendapatkan panduan dan nasihat supaya kita dapat meneruskan perancangan sedia ada atau menambah baik pendekatan yang telah dilaksanakan demi manfaat penduduk Kabong.

“Pembangunan kawasan itu tidak seharusnya tertumpu kepada infrastruktur dan kemudahan awam sahaja, sebaliknya turut melibatkan pembangunan modal insan serta penggunaan teknologi selaras dengan keperluan generasi muda,” tambahnya.

Selain itu, beliau mengenal pasti masalah banjir yang menjejaskan kegiatan pertanian penduduk ketika musim tengkujuh sebagai antara isu yang memerlukan perhatian.

“Pengalaman menangani masalah banjir dan hakisan di DUN N.26 Gedong sebelum ini boleh dimanfaatkan dalam usaha membantu penduduk Kabong.

“Sebaik sahaja menerima mandat ini, saya sudah menjadi milik rakyat dan bukan lagi milik keluarga.

“Jika masyarakat menghubungi kita pada tengah malam kerana memerlukan bantuan, kita perlu bersedia memberikan khidmat,” ujarnya.

Untuk rekod, kerusi DUN N.40 Kabong mula dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 selepas diwujudkan susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2015.

Datuk Mohd Chee Kadir merupakan wakil rakyat pertama kawasan itu selepas memenangi pilihan raya berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN).

Beliau mempertahankan kerusi itu pada PRN Sarawak 2021 sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekali gus berkhidmat selama dua penggal sebelum GPS mempertaruhkan Nor-E-Fadzwie Salleh sebagai calon muka baharu pada PRN-13.

Oleh Masrin Affirah