PETRA JAYA, 25 November: Berbekalkan pengalaman selama 10 tahun berkhidmat bersama wakil rakyat, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Beting Maro, Awang Nashfarini Awang Sarbini, mahu membawa pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat di kawasan itu.
Berusia 38 tahun, beliau sebelum ini berkhidmat selama lapan tahun bersama penyandang kerusi DUN Beting Maro, Datuk Razaili Gapor, sebelum meneruskan khidmat selama dua tahun sebagai pegawai tadbir khas kepada Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Pengalaman tersebut, katanya, memberi pendedahan secara langsung terhadap keperluan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, selain membantunya memahami proses merancang serta melaksanakan pembangunan setempat.
Beliau berkata, pengalaman bekerja bersama wakil rakyat itu akan dimanfaatkan untuk mendekati masyarakat dan mengenal pasti keperluan penduduk di Beting Maro.
“Dengan pengalaman itu, insya-Allah mudah bagi saya untuk menyantuni rakyat dan masyarakat di kawasan Beting Maro. Saya juga dapat merancang pembangunan di kawasan ini kerana sebelum ini memang bekerjasama dengan Ahli Parlimen untuk membangunkan kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon di Ibu Pejabat PBB, hari ini.
Mengulas fokus pembangunan sekiranya diberi mandat, Awang Nashfarini berkata, beliau mahu memberi perhatian kepada tiga bidang utama, iaitu pendidikan, kesihatan dan ekonomi, khususnya bagi masyarakat luar bandar.
Menurutnya, usaha perlu dilakukan bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dengan bandar supaya penduduk di Beting Maro turut menikmati kemudahan dan peluang yang lebih baik.
“Buat masa ini, saya belum menetapkan pembangunan tertentu. Namun, perkara paling penting ialah pendidikan, kesihatan dan ekonomi di kawasan luar bandar.
“Kita tidak mahu jurang antara kawasan luar bandar dengan bandar terlalu jauh. Saya berharap selepas ini kita dapat bersama-sama membangunkan Beting Maro dengan lebih maju,” katanya.
Dari segi latar belakang, Awang Nashfarini dilahirkan di Kampung Pusa dan dibesarkan di Kampung Beladin. Sebelum menceburi bidang khidmat masyarakat dan pentadbiran wakil rakyat, beliau pernah bekerja sebagai Penolong Pengurus di TH Plantation Berhad.
Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Pengangkutan dan Logistik, selain mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Beladin sebelum melanjutkan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman.
Awang Nashfarini yang telah berkeluarga dan mempunyai enam anak berkata, beliau menghargai kepercayaan pucuk pimpinan GPS yang memilihnya untuk mewakili parti itu di Beting Maro.
Pelantikannya turut meletakkan beliau dalam senarai muka baharu GPS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, selepas diumumkan sebagai calon bagi kerusi berkenaan.
Oleh Shikin Mahmud



