PETRA JAYA, 25 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan lima calon wanita bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dengan dua daripadanya merupakan muka baharu yang diberi peluang untuk bertanding.
Dua calon muka baharu itu ialah Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim yang diketengahkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang dan Nurfatin Syafawani Tahamat di N.71 Bekenu.
Dayang Norfizawati, 51, bukanlah asing dalam arena politik apabila menjadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak berusia 18 tahun, selain berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sejak 2017.
Beliau berkata, minatnya terhadap politik bermula sejak kecil apabila melihat penglibatan ahli keluarganya dalam bidang berkenaan, selain menganggap politik sebagai wadah untuk membantu masyarakat.
“Sejak kecil, saya melihat politik sebagai satu cara untuk melakukan kerja kebajikan dan membantu orang ramai. Sebab itu saya tertarik untuk menceburi bidang politik,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat PBB, hari ini.
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar dari Universiti Malaya (UM).
Beliau turut mempunyai pengalaman bekerja dalam industri minyak dan gas bersama syarikat Baker Hughes sebelum terlibat secara langsung dalam bidang politik.
Mengulas pencalonannya di Muara Tuang, Dayang Norfizawati mengakui berdepan cabaran sebagai calon baharu, namun yakin pengalaman turun padang selama ini dapat membantu beliau memahami keperluan masyarakat setempat.
Beliau berkata, pengalamannya bersama Pergerakan Wanita PBB membolehkannya mendekati masyarakat di 82 cawangan di kawasan berkenaan.
“Sebagai calon baharu, sudah tentu ada cabarannya. Namun, dengan niat untuk bekerja demi rakyat, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Nurfatin Syafawani, 34, membawa pengalaman selama 10 tahun dalam bidang kejuruteraan apabila sebelum ini berkhidmat sebagai Jurutera Kanan di Sarawak Energy.
Beliau berkata, pencalonan itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan sebaik mungkin sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi
Nurfatin yang berasal dari Kampung Kelulit, Bekenu, berkata beliau mahu meneruskan legasi penyandang kerusi berkenaan, Datuk Rosey Yunus, yang menurutnya telah banyak menyumbang kepada pembangunan kawasan itu.
“Beliau merupakan pemimpin yang baik dan saya banyak melihat perjalanan politik serta sumbangan beliau di N.71 Bekenu. Saya berharap dapat meneruskan legasi tersebut,” katanya.
Beliau turut berhasrat memberi perhatian kepada keperluan pembangunan kawasan, khususnya program berkaitan wanita serta usaha memastikan golongan belia tidak ketinggalan dalam pendidikan dan perkembangan semasa.
Selain dua muka baharu itu, tiga lagi calon wanita GPS ialah Dayang Norazah Awang Sohor di N.28 Lingga, Dato Sri Fatimah Abdullah di N.56 Dalat dan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di N.07 Samariang.
Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merupakan antara pemimpin wanita berpengalaman dalam barisan calon GPS, manakala Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) mempunyai latar belakang dalam bidang perundangan.
Sharifah Hasidah telah berkhidmat sebagai wakil rakyat Samariang sejak 2006, sekali gus menjadikannya antara calon wanita berpengalaman dalamsenarai berkenaan.
Keseluruhannya, senarai lima calon wanita itu memperlihatkan gabungan pengalaman pemimpin sedia ada dengan kemunculan muka baharu daripada latar belakang profesional berbeza.
Kehadiran calon baharu itu turut membuka ruang kepada penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan politik dan pentadbiran negeri.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November ini, manakala hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13 ialah pada 12 Disember.
Oleh Shikin Mahmud



