LONDON: Arsenal dan Chelsea ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool selepas mereka seri 1-1 awal pagi tadi, manakala Ipswich mengejutkan Tottenham 2-1 bagi kemenangan pertama EPL dalam tempoh 22 tahun.
Manchester United melengkapkan tempoh sementara Ruud van Nistelrooy dengan kemenangan 3-0 ke atas Leicester manakala Nottingham Forest terkeluar daripada kelompok empat teratas selepas tumpas 3-1 di laman sendiri kepada Newcastle.
Arsenal kini tidak menang dalam empat perlawanan EPL ketika usaha mereka untuk merebut kejuaraan pertama sejak 2004 berdepan risiko kegagalan.
The Gunners menyambut semula kepulangan kapten Martin Odegaard dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam tempoh dua bulan dan kelihatan meningkat di Stamford Bridge, tetapi tidak mampu membawa pulang tiga mata penting.
“Kami amat tidak bernasib baik. Kami mendominasi ke atas satu daripada pasukan terbaik di Eropah tetapi kami tidak mendapat keputusannya. Itulah yang membezakannya,” kata bos Arsenal, Mikel Arteta.
Odegaard mengumpan kepada Gabriel Martinelli untuk membuka tirai jaringan berdekatan dengan pintu gol selepas sejam.
Chelsea membalas menerusi percubaan jarak jauh memukau Pedro Neto bagi gol pertamanya dalam liga sejak perpindahan bernilai £51 juta (RM289 juta) dari Wolves.
Keputusan seri menyaksikan The Blues kekal di depan Arsenal menerusi perbezaan jaringan ketika kedua-dua pasukan melonjak ke kelompok empat teratas.
Ipswich akan beraksi perlawanan pertama kendalian Ruben Amorim di United dalam dua minggu lagi dan mendapat suntikan semangat selepas kemenangan pertama mereka sejak menamatkan penantian dua dekad untuk kembali naik ke liga utama.
“Ia satu detik besar, sesuatu yang perlu diraikan,” kata bos Ipswich, Kieran McKenna.
Sammie Szmodics mengambil kesempatan susulan kelesuan benteng Tottenham untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan gunting pada minit ke-31.
Liam Delap menggandakan kedudukan buat pelawat apabila dia merembat masuk dari jarak dekat selepas Radu Dragusin melakukan satu hantaran silang di depan golnya sendiri.
Spurs terpaksa bangkit untuk menang dalam lapan daripada 12 perlawanan liga terakhir mereka di laman sendiri tahun ini tetapi kali mereka mereka gagal melakukannya.
Rodrigo Bentancur mengurangkan defisit dengan satu tandukan padu susulan sepakan sudut Pedro Porro tetapi mereka tumbang kali kelima dalam 11 perlawanan liga.
Ipswich keluar dari zon penyingkiran manakala Spurs merudum ke tangga ke-10. – AFP