Musim F1 akan berakhir di Abu Dhabi seperti dirancang – Domenicali

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) F1 Stefano Domenicali. Foto hiasan

BERLIN, 3 Oktober: Formula Satu (F1) tidak merancang untuk sekali lagi mengubah suai kalendarnya kerana konflik di Asia Barat dan musim ini dijangka berakhir di Abu Dhabi seperti yang dijadualkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1 Stefano Domenicali kepada Sky Sports Italia pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Menurut Domenicali, perlumbaan di Qatar pada 29 November dan Abu Dhabi pada 6 Disember akan berlangsung seperti yang dirancang, dan persiapan untuk mengakhiri tahun ini di Imola tidak dapat direalisasikan buat masa ini.

“Ini ialah perjalanan perlumbaan yang kami tetapkan berdasarkan maklumat dan jaminan yang kami terima. Kami akan terus mengikut strategi ini hingga akhir tahun ini,” kata Domenicali kepada Sky Sport Italia di luar perlumbaan Grand Prix Bahrain di Malaysia.

Prinsipal Mercedes Toto Wolff memberitahu penyiar Jerman Sky bahawa pasukan sedang membuat persediaan sewajarnya dan “sekarang ini, semua lampu hijau.”

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keadaan itu sangat tidak menentu dan mereka perlu terus memantau.

Awal tahun ini, F1 terpaksa membatalkan GP Bahrain dan GP Arab Saudi kerana konflik di Timur Tengah.  Walaupun GP Arab Saudi tidak dikembalikan, GP Bahrain telah dijadualkan semula dan dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang di Malaysia hujung minggu ini.

Bagi F1, kos yang tinggi dipertaruhkan kerana Qatar dan Abu Dhabi membayar yuran yang tinggi untuk menjadi sebahagian daripada kalendar perlumbaan. – Bernama