LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Jurulatih Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino, melantik Tyler Adams sebagai kapten pasukan itu sehingga Piala Dunia 2030.
Pochettino, yang bercakap menjelang menentang Mexico di Arizona berkata Adams merupakan pilihan yang tepat untuk memimpin pasukan berkenaan.
“Saya gembira mengumumkan bahawa dia akan menjadi pemimpin dan kapten kami,” kata Pochettino kepada pemberita.
“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik sejak tiga tahun lalu dan saya rasa dia tahu perkara yang saya harapkan.
“Dia merupakan contoh teladan yang baik kepada semua pemain menerusi keupayaannya menerapkan falsafah dan budaya pasukan, selain mewakili negara yang hebat ini.
“Dia ialah pemain yang mampu memimpin pasukan dalam tempoh yang akan datang,” katanya.
Adams, yang beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Bournemouth, merupakan antara pemain berpengalaman dalam skuad Amerika Syarikat.
Pemain berusia 27 tahun itu pernah mengetuai Amerika Syarikat pada Piala Dunia 2022 di Qatar di bawah kendalian jurulatih terdahulu, Gregg Berhalter.
Pochettino sebelum ini melantik pertahanan veteran Tim Ream sebagai kapten pada Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Ream mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa awal minggu ini.
Adams, yang akan menyarung lilitan kapten dalam perlawanan menentang Mexico pada Sabtu, berkata beliau mahu “memimpin pasukan ini ke arah budaya kemenangan”.
Pemain tengah itu berkata beliau kini mempunyai lebih banyak pengalaman selepas pernah mengetuai Amerika Syarikat pada Piala Dunia 2022.
“Pada 2022, kami sememangnya sebuah pasukan yang sangat muda, malah antara pasukan termuda di Piala Dunia. Walaupun saya rasa saya sudah bersedia untuk memainkan peranan itu ketika itu, saya berpeluang untuk berkembang dari segi kehidupan dan permainan sepanjang tempoh sehingga sekarang,” kata Adams.
“Menyarung lilitan kapten tidak mengubah diri saya sebagai seorang pemimpin atau menjadikan saya berbeza daripada siapa saya. Saya akan kekal sebagai diri saya yang sama.” – AFP




