KUCHING, 4 Oktober: Dua warga emas cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Batu 11, Jalan Kuching-Serian, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Penolong Superintenden Polis Barry William berkata, kemalangan berlaku kira-kira 10.10 pagi ketika kenderaan MPV IPD Padawan yang dinaiki dua anggota polis sedang menjalankan tugas rondaan dari arah Serian menuju ke Kuching.

Menurutnya, kenderaan MPV berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang bergerak dari arah Kuching menuju ke Serian sebelum kenderaan itu memasuki laluan bertentangan.
“Sejurus kemalangan, kedua-dua anggota polis segera memberikan bantuan kepada kedua-dua mangsa yang berada dalam kenderaan Perodua Axia yang terbabas masuk ke dalam longkang sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta pihak ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa masing-masing seorang lelaki berusia 57 tahun dan wanita berusia 73 tahun, kedua-duanya berbangsa Cina, kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan meminta sebarang maklumat berkaitan disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 bagi membantu siasatan.




