TANJUNG MANIS: Satu lagi detik bersejarah hari ini apabila Masjid Al-Haj Kampung Jerijeh yang menjadi lambang kemegahan orang kampung tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, Masjid Al-Haj Kampung Jerijeh merupakan masjid yang pertama dirasmikan oleh Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Menurutnya, peristiwa ini akan terus terpahat di dalam sanubari warga Kampung Jerijeh dan sejarah terus terukir menjadi kebanggaan bukan sahaja warga kampung tersebut tetapi seluruh penduduk Kuala Rajang.
“Masjid Al Haj baharu Kampung Jerijeh ini mula dibina sejak 2017 melalui beberapa peringkat dengan penyediaan tapak sejak 2017, termasuk menaik taraf jalan akses ke masjid pada 2018.
“Pembinaan bangunan masjid bermula dengan penyerahan tapak kepada kontraktor pada 21 Oktober 2020.
“Namun disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac 2020, projek ini mengalami sedikit kelewatan dan akhirnya berjaya siap pada 13 Januari 2023.
“Seterusnya tahun lepas dilaksanakan naik taraf kawasan parkir untuk pekarangan masjid ini,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berkata, keseluruhan kos projek pembinaan Masjid Al-Haj termasuk kemudahan asas berjumlah RM5.37 juta, dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Kuala Rajang.
“Masjid Al-Haj kini mampu menampung sehingga 1,000 jemaah dalam satu masa.
“Selain dilengkapi sistem penghawa dingin, karpet, kipas yang merupakan sumbangan orang ramai,” ujarnya.
Sementara itu, katanya lagi, masjid lama yang bersebelahan digunakan untuk aktiviti pengajian kelas Al Quran untuk penduduk setempat, bagi membantu meningkatkan pemahaman agama dalam kalangan komuniti.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohamad Sanusi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab.
Oleh Akun Giman & Tarani Lanting