ASAJAYA: Pasukan bomba bertindak pantas membersihkan tumpahan minyak yang mengotori kira-kira 10 meter permukaan jalan utama Asajaya ke Sadong Jaya berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sampun, hari ini.
Menurut kenataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tumpahan minyak di lokasi berkenaan.
Operasi diketuai PBK II Rosli Muhi dengan kekuatan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) bersama empat anggota.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat tumpahan minyak di atas permukaan jalan sepanjang kira-kira 10 meter yang berpotensi membahayakan pengguna jalan raya.

Bagi memastikan keadaan kembali selamat, anggota operasi membentangkan satu aliran hos bantu mula dari jentera untuk kerja-kerja pembersihan.
Serbuk pencuci dan penyapu turut digunakan bagi membersihkan minyak yang tumpah di sepanjang kawasan jalan yang terjejas.
Kerja-kerja pembersihan diteruskan sehingga keseluruhan kawasan yang terjejas dibersihkan dan keadaan jalan kembali selamat untuk digunakan.
Oleh Adi Safarman





