Tindakan pantas, perkongsian maklumat kunci pengurusan bencana Bintulu

Facebook
WhatsApp
ABANG Zainuddin berucap pada majlis perasmian Program Latihan dan Tabletop Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu di sebuah hotel di Bintulu.

BINTULU: Keupayaan bertindak pantas serta perkongsian maklumat yang tepat antara agensi perlu diberi keutamaan dalam memastikan operasi pengurusan bencana di Bahagian Bintulu berjalan lancar.

Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey berkata, situasi kecemasan tidak semestinya memberi ruang untuk agensi menunggu prosedur atau arahan secara berperingkat, sebaliknya tindakan perlu diambil segera berdasarkan peranan dan bidang kuasa masing-masing.

Menurutnya, pengalaman mengendalikan beberapa kejadian sebelum ini membuktikan kepentingan penyelarasan sedemikian, termasuk memastikan agensi yang berada di lokasi dapat segera melaksanakan tindakan kawalan.

“Bencana ini mana boleh kita terlalu formal. Kita tidak boleh tunggu terlalu lama. Sebaik sahaja insiden berlaku, kita perlu bertindak,” katanya ketika berucap merasmikan Program Latihan dan Tabletop Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu di sebuah hotel di sini, hari ini.

ABANG Zainuddin (tengah ) bersama Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) DCP Datuk Mazli Mazlan dan wakil Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan merakam gambar dengan para peserta Program Latihan dan Tabletop Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu.

Menurut beliau, tindakan pantas di lokasi juga penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila sesuatu kejadian mula mendapat perhatian di media sosial.

Katanya lagi, kehadiran agensi berkaitan di lokasi serta tindakan yang jelas dapat menunjukkan bahawa sesuatu insiden sedang ditangani, sekali gus membantu mengawal penyebaran maklumat tidak tepat.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Zainuddin berkata, perkongsian maklumat antara agensi amat kritikal dalam menangani insiden melibatkan sektor perindustrian, terutama sekiranya membabitkan bahan kimia.

Tegasnya, pihak kesihatan perlu mendapat maklumat mengenai bahan yang terlibat secepat mungkin bagi membolehkan rawatan terhadap mangsa diberikan tanpa perlu mengambil masa mengenal pasti bahan berkenaan.

“Doktor mahu tahu jenis bahan kimia yang digunakan untuk merawat pesakit dengan segera.

“Tanpa maklumat itu, doktor tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan perlu membuat ujian terlebih dahulu, sedangkan kita bercakap mengenai nyawa,” katanya.

ABANG Zainuddin menerima cenderahati daripada wakil Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan pada majlis berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, penglibatan syarikat-syarikat industri dalam latihan pengurusan bencana perlu diperkasa supaya pihak berkenaan turut memahami peranan masing-masing, termasuk dalam aspek komunikasi apabila berlaku kecemasan.

Tambahnya, pendekatan itu akan membantu memperkemas gerak kerja antara agensi kerajaan dan pihak industri, selain mengenal pasti ruang penambahbaikan berdasarkan pengalaman serta penilaian terhadap kejadian terdahulu.

Abang Zainuddin turut menggesa semua agensi membuat persiapan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), termasuk memastikan aset dan anggota berada dalam keadaan siap digunakan apabila diperlukan.

“Dengan kerjasama, komitmen dan rasa bertanggungjawab, tiada yang mustahil jika kita melakukannya sebagai satu pasukan,” ujarnya..

Program dua hari itu dianjurkan melalui kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau dengan penyertaan 70 peserta daripada pelbagai agensi.

Hari pertama memberi fokus kepada taklimat agensi dan TTX pengurusan bencana, manakala hari kedua melibatkan simulasi keselamatan di air.

Oleh Carolyne Utih