LAWAS: Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi program jelajah kesihatan akan mengenal pasti isu di lapangan untuk diambil tindakan sewajarnya mengikut keperluan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Hanifah Hajar Taib berkata, beliau bersama pasukannya akan turun padang bagi melihat sendiri keadaan di lapangan dan mengenal pasti isu yang dihadapi masyarakat setempat.
Katanya, langkah itu bagi memastikan laporan yang diterima memberikan gambaran sebenar mengenai keperluan masyarakat setempat, termasuk aspek peralatan kesihatan, kekurangan kakitangan dan perkara lain yang berada di bawah bidang kuasa KKM.
“Realitinya, kalau kita lihat, antara kekangannya ialah laporan di dalam kertas itu tidak memberikan gambaran sebenar mengenai keperluan dan realiti di tempat lokal.
“Kita juga nak memahami apakah kekangan dari segi struktur geografi, akses, jarak dari satu tempat ke fasiliti yang berdekatan serta jenis-jenis masalah yang dihadapi. Jadi, kita nak melihat keseluruhannya,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan projek Hospital Lawas daripada Kementerian Kerja Raya kepada KKM di bangunan baharu Hospital Lawas, hari ini.
Seterusnya, Hanifah memberi jaminan akan memastikan keperluan mesin pengimbas tomografi berkomputer (CT scan) diberi perhatian.
Selain itu, KKM juga akan menilai keadaan di kawasan Samalaju bagi menyediakan kemudahan klinik kesihatan seperti yang diminta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Kajian bagi mewujudkan kemudahan kesihatan di kawasan industri dengan kepadatan penduduk melebihi 10,000 orang penting bagi memastikan aspek kesihatan pekerja industri diberi perhatian sewajarnya.





