Persiapan akhir Hari Malaysia 2026 memuaskan, internet di tahap optimum- Fahmi

Facebook
WhatsApp
MENTERI Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil. Foto Bernama

KUCHING: Persiapan akhir sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berada pada tahap memuaskan termasuk penyediaan kemudahan Internet untuk pengamal media.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pemeriksaan bersama pegawai-pegawai kanan kementerian malam ini mendapati persiapan bagi sambutan pada 16 September itu berjalan baik.

“Antara persiapan diberi perhatian ialah penyediaan barangan untuk diagihkan kepada pengunjung pada malam sambutan selain barangan kementerian yang akan diedarkan di beberapa lokasi termasuk kawasan Waterfront (Tebingan Kuching),” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir dan raptai penuh sambutan Hari Malaysia di BCCK di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Dalam pada itu, Fahmi berkata liputan Internet di BCCK pula berada pada tahap optimum bagi memastikan pengamal media dapat menjalankan tugasan sepanjang sambutan.

“Saya telah bercakap dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk pastikan rakan-rakan media mendapat akses kepada Internet sama ada Wi-Fi ataupun mobile, cukup untuk rakan-rakan media menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata MCMC memaklumkan semua peralatan dan perkakasan yang perlu dipasang oleh syarikat telekomunikasi telah siap serta berfungsi dengan baik.

Fahmi berkata pemeriksaan seterusnya akan memberi tumpuan kepada aspek teknikal termasuk sistem audio bagi memastikan kelancaran acara.

“Semalam Datuk KSU ada memaklumkan isu-isu melibatkan audio, jadi kita akan lihat dengan lebih rapi untuk pastikan we have a good show menjelang 16 September ini,” katanya.

Kira-kira 5,000 dijangka memeriahkan sambutan Hari Malaysia di BCCK Rabu ini, yang akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut dijadual menghadiri acara rasmi bermula 8.15 malam itu.- Bernama