PEMBINAAN Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) tepat pada masanya kerana negeri ini perlu mula membangunkan sendiri keupayaan dan kepakaran sebagai persediaan menghadapi sebarang wabak pada masa hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan contoh baharu komitmen daripada Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan keupayaan bioperubatan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Kita sedang mengambil inisiatif untuk bertanggungjawab ke atas ‘takdir’ Kerajaan Negeri sendiri sambil mengekalkan interaksi dan kerjasama yang rapat dengan Ke- rajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SIDC di Kota Samarahan.
SIDC adalah kemudahan penyelidikan di bawah bidang kuasa Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak.
Tambahnya, lokasi SIDC di Samarahan adalah strategik kerana kawasan ini adalah rumah kepada universiti, pusat penyelidikan dan Taman Biodiversiti Sarawak.
“Penubuhan SIDC diharap akan menjadi pemangkin pembangunan industri bioperubatan di Sarawak, menjadi permulaan biohub mengintegrasikan hospital, pusat penyelidikan, akademia dan tamanbio. “Kedudukan pusat yang berdekatan dengan Kuching, lapangan terbang dan pelabuhan serta lain-lain kemudahan seperti sekolah antarabangsa, internet berkelajuan tinggi dan tidak lama lagi sistem pengangkutan awam yang lebih baik juga akan menarik pelabur dan pakar di seluruh dunia untuk bekerja di pusat dan menyumbang kepada ekonomi kita,” ujarnya.
Dalam beberapa bulan akan datang, SIDC akan terlibat dalam satu aktiviti yang menarik iaitu projek penyelidikan dengan Pusat Biodiversiti Sarawak.
Inisiatif SIDC adalah selaras dengan inisiatif Sarawak untuk membangunkan industri bioperubatan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS 2030), dan akan menetapkan asas untuk Sarawak berada dalam barisan hadapan dalam pembangunan bioterapeutik menggunakan sumber semula jadi tempatan.
SIDC direka bentuk untuk menjadi titik fokus ekosistem yang akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan di sektor bioperubatan untuk Sarawak.