PADAWAN: Suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga mendiang jururawat Debra Moset di Kampung Semadang ketika keluarga dan masyarakat setempat berkumpul bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata FDS merupakan perkhidmatan amat penting dalam memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
“Perkhidmatan Doktor Udara merupakan satu bahagian yang sangat penting dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar kerana tanpa perkhidmatan ini selama bertahun-tahun, banyak komuniti luar bandar tidak akan mendapat manfaat seperti yang mereka nikmati hari ini,” katanya ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di kediaman keluarganya di Kampung Semadang, hari ini.
Beliau berkata penghargaan wajar diberikan kepada jururawat, doktor dan juruterbang yang selama ini mendedikasikan diri kepada FDS, selain menegaskan keperluan untuk menambah baik perkhidmatan berkenaan pada masa hadapan.
Menurutnya, kerajaan Sarawak sedang menunggu laporan rasmi nahas sebelum menentukan langkah selanjutnya, termasuk meneroka penggunaan teknologi seperti telekonsultasi, dron dan kecerdasan buatan (AI), selain menambah baik kemudahan jalan raya serta menambah bilangan klinik.
“Bagi kita yang masih ada, adalah penting untuk kita belajar apa lagi yang boleh dilakukan dan bagaimana kita boleh melakukan penambahbaikan.
“Berhubung Perkhidmatan Doktor Udara dan keperluannya, kita tidak pernah mempersoalkan keperluan terhadap perkhidmatan ini, tetapi sebaliknya bagaimana untuk menambah baiknya lagi,” katanya.
Dr Sim berkata tiada gunanya membuat spekulasi mengenai punca nahas dan perkara itu perlu diserahkan kepada pakar serta menunggu laporan rasmi dikeluarkan.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak untuk membantu dalam aspek kesihatan, termasuk menangani kekosongan 18 peratus jawatan dalam Jabatan Kesihatan Sarawak yang melibatkan lebih 5,000 jawatan.
Katanya, kerajaan Sarawak juga membantu usaha pendigitalan klinik kesihatan di Sarawak dengan 70 peratus klinik kini telah didigitalkan, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan teknologi seperti doktor dan jururawat yang dibantu AI serta dron pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan Raya), Datuk Jerip Susil, berkata hari berkenaan merupakan hari yang amat menyedihkan bagi komuniti Bidayuh, khususnya penduduk di kawasan N.19 Mambong.
Beliau berkata keluarga mendiang, termasuk suami dan dua anaknya yang masih bersekolah, tidak akan dibiarkan bersendirian dalam menghadapi trauma serta tekanan emosi susulan tragedi itu.
“Dengan sokongan komuniti, sokongan kerajaan Sarawak dan semua pihak, mereka akan tahu bahawa mereka tidak bersendirian. Bukan sahaja komuniti, tetapi sistem sokongan dalam masyarakat Sarawak bersama mereka dan kita akan terus bersama mereka dalam menghadapi keadaan ini,” katanya.
Jerip berkata kerajaan Sarawak turut menyalurkan bantuan sebanyak RM100,000 kepada keluarga setiap mangsa, selain menyediakan pembiayaan pendidikan untuk anak-anak mendiang yang masih bersekolah.
Menurutnya, bantuan berkenaan amat bermakna kerana bukan sahaja memberikan sokongan kewangan, malah membantu menjamin kebajikan dan pendidikan anak-anak mendiang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan jenazah mendiang dari Miri hingga ke Kuching, termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), pihak pentadbiran kawasan Padawan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin masyarakat, media dan penduduk setempat.

Katanya, sokongan masyarakat jelas apabila penduduk dari kampung sekitar turut hadir di sepanjang laluan bagi memberikan penghormatan kepada mendiang.
“Debra Moset adalah seorang yang telah berkecimpung dalam bidang jururawat, dan apabila dia mengalami tragedi ini, bukan sahaja tragedi ini kepada keluarga beliau tetapi seluruh kawasan keluarga daripada Jabatan Kesihatan, seluruh keluarga daripada kaum Bidayuh dan seluruh keluarga daripada kawasan-kawasan sekitaran,” katanya.
Jenazah mendiang Debra Moset dijadualkan dikebumikan pada 10.30 pagi esok di Tanah Perkuburan Gereja St Patrick, Kampung Semadang.
Oleh Shikin Mahmud




