Rekod lima tahun jadi sandaran kukuh keyakinan rakyat terhadap GPS – Uggah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika berucap pada Jamuan Makan Malam Delegasi PBB Telang Usan sempena Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara 2026 di Miri, semalam.

MIRI: Keyakinan rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu terus dipelihara dan diperkukuh menerusi rekod pencapaian kerajaan Sarawak dalam melaksanakan agenda pembangunan serta membela kepentingan rakyat sepanjang lima tahun lalu.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keyakinan tersebut merupakan amanah yang perlu dijaga oleh seluruh kepimpinan dan anggota parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13).

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan anggota PBB Cawangan Telang Usan supaya memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi bagi memastikan calon GPS memperoleh kemenangan pada PRN13.

Menurutnya, pencapaian kerajaan Sarawak dalam tempoh lima tahun lalu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam membawa pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di seluruh negeri.

Katanya, kemajuan di Telang Usan turut dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang memberi tumpuan kepada keperluan penduduk, khususnya masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas, disambut delegasi PBB Telang Usan ketika tiba pada Jamuan Makan Malam Delegasi PBB Telang Usan sempena Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara 2026 di Miri, semalam.

“Keyakinan rakyat terhadap GPS perlu kita pelihara. Apa yang telah dilaksanakan kerajaan sepanjang lima tahun lalu perlu diterangkan dan disampaikan kepada rakyat supaya mereka mengetahui usaha yang telah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Makan Malam Delegasi PBB Telang Usan sempena Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara 2026 di sini, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung PBB Sarawak, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Uggah turut menyentuh mengenai peruntukan berjumlah RM1.5 bilion menerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) bagi menyokong pembangunan kawasan tanah tinggi, termasuk Telang Usan.

Beliau berkata peruntukan dan inisiatif pembangunan berkenaan memperlihatkan kesungguhan kerajaan Sarawak untuk memastikan kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas, bergambar bersama delegasi PBB Telang Usan sempena Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara 2026 di Miri, semalam.

Dalam pada itu, Uggah turut menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, yang sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan penduduk serta berusaha membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata khidmat kepada rakyat perlu terus menjadi keutamaan, malah pendekatan mendekati masyarakat secara langsung penting bagi memahami isu, keperluan dan harapan mereka.

“Jangan kita hanya bekerja apabila pilihan raya sudah dekat. Kita mesti sentiasa berada bersama rakyat, mendengar masalah mereka dan memastikan khidmat yang diberikan benar-benar sampai kepada masyarakat,” katanya.

Majlis bertemakan “Peji Pemong Kejaie” itu menghimpunkan kepimpinan dan anggota PBB N.77 Telang Usan dalam suasana mesra, sekali gus menyemarakkan semangat kekeluargaan serta kesiapsiagaan menghadapi PRN13.

Oleh Adi Safarman