
SIBU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada kebakaran di Jalan Nan Sang, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar 9.43 pagi.
Katanya, sepasukan 11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan pacuan bergegas ke lokasi kejadian.
“Komander Operasi (KO) melaporkan, sebuah bilik tidur di rumah dua tingkat jenis struktur kekal telah terbakar, melibatkan kemusnahan sebanyak 30 peratus di ruang tingkat atas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak pantas memadam kebakaran menggunakan teknik offensif dan defensif dengan satu aliran sepanjang 200 kaki dan dua nozel.
“Kesemua empat penghuni, dua lelaki dan dua perempuan dewasa, selamat tanpa mengalami kecederaan. Operasi mengawal dan memadam kebakaran sekitar 10.45 pagi,” katanya.
Oleh Akun Giman