MIRI, 3 Oktober: Sebuah kedai dua tingkat berhampiran Boulevard di sini terbakar pagi tadi, menyebabkan kira-kira 70 peratus bahagian tingkat atas bangunan berkenaan musnah.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.00 pagi sebelum pasukan dari BBP Miri dan balai bantuan BBP Lopeng tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran melibatkan sebuah kedai dua tingkat jenis kekal berkeluasan kira-kira 40 kaki x 60 kaki.

“Kebakaran dianggarkan memusnahkan kira-kira 70 peratus bahagian tingkat atas bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi ditamatkan pada 8.40 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada risiko api merebak atau berlaku nyalaan semula.
Oleh Liong Chai Ling




