Penghuni padam kebakaran papan agihan elektrik sebelum bomba tiba

Facebook
WhatsApp
KESAN kebakaran papan agihan elektrik di No. 20, Rumah Amas Lingoh. Foto BBP Bintangor

JULAU, 4 Oktober: Tindakan pantas penghuni Rumah Amas, Sungai Jikang menggunakan alat pemadam api mudah alih berjaya memadam kebakaran pada papan agihan elektrik sebelum api merebak ke struktur rumah panjang pada semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari sebelum lima anggota diketuai komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Wan Azri Wan Adannan digerakkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan keluaran operasi sampai di lokasi, didapati kebakaran berlaku pada bahagian papan agihan elektrik No. 20, Rumah Amas Lingoh.

“Tiada melibatkan kebakaran struktur kediaman dan tiada mangsa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya, penghuni rumah panjang berjaya mengambil tindakan awal menggunakan alat pemadam api mudah alih jenis debu kering sebelum ketibaan pasukan bomba.

ANGGOTA bomba membuat pemeriksaan papan agihan elektrik. Foto BBP Bintangor

“Kebakaran telah berjaya dipadam oleh penghuni rumah panjang dengan media pemadaman menggunakan satu unit alat pemadam api mudah alih jenis debu kering ke punca kebakaran sebelum tibanya pihak bomba di lokasi,” katanya.

Tambahnya, operasi pasukan bomba bermula pada 1.18 petang dengan komander operasi terlebih dahulu melakukan penilaian terhadap keadaan di lokasi.

“Komander operasi membuat penilaian awal dan memastikan bekalan elektrik ke kawasan terlibat telah terputus dan seterusnya mengarahkan anggota bomba untuk membuat pemeriksaan secara menyeluruh sekitar lokasi terlibat.

“Ia bertujuan bagi memastikan tiada lagi wujudnya punca kebakaran dan memastikan kebakaran benar-benar padam,” katanya.

Katanya, pasukan bomba turut memberikan khidmat nasihat kepada penghuni mengenai kepentingan memastikan sistem pendawaian elektrik berada dalam keadaan baik dan mendapatkan pemeriksaan khidmat nasihat dari juruteknik yang bertauliah bagi membuat tindakan selanjutnya.

Turut hadir di lokasi ialah Agensi Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi membantu tindakan berkaitan kejadian tersebut.

Oleh Earl Anek