Kebakaran 30 peratus ruang dapur kedai makan di Bandar Baru Medan berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN membabitkan bahagian dapur di sebuah kedai makan di Bandar Baru Medan Betong pagi tadi berjaya dikawal selepas peralatan peti ais dan sistem pendawaian elektrik terbakar. Foto BBP Betong

BETONG: Kebakaran membabitkan bahagian dapur di sebuah kedai makan di Bandar Baru Medan dekat sini pagi tadi berjaya dikawal selepas peralatan peti ais dan sistem pendawaian elektrik terbakar.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.27 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I Mosihi, tiba di lokasi pada 8.29 pagi, kira-kira dua minit selepas menerima panggilan, dengan jarak perjalanan sekitar dua kilometer.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan bahagian peralatan peti ais dan sistem pendawaian elektrik dengan kira-kira 30 peratus kawasan terjejas daripada keseluruhan ruang berukuran 50 x 70 kaki persegi.

Bagaimanapun, tindakan pantas orang awam berjaya membantu mengawal keadaan apabila mereka terlebih dahulu menggunakan tiga unit alat pemadam api bagi memadam kebakaran.

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula melalui pam tangki jentera bagi memastikan api dipadam sepenuhnya.

Pemeriksaan turut dilakukan bagi memastikan tiada bara api atau bahagian yang masih berpotensi mencetuskan kebakaran susulan.

Operasi dilaporkan terkawal pada 8.52 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 9.50 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.

Dalam operasi itu, BBP Betong menggunakan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), manakala lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu kawalan.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan. Operasi turut berdepan cabaran apabila tiada liputan GIRN di lokasi kejadian.

Oleh Adi Safarman