PBB Kabong perkukuh gerak kerja, turun padang dekati masyarakat

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir hadir Mesyuarat Jawatankuasa PBB Cawangan Kabong yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong. Foto ADUN Kabong

KABONG, 4 Oktober: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong terus memperkukuhkan gerak kerja organisasi dengan memberi penekanan terhadap kerjasama, penyelarasan serta pendekatan turun padang bagi mendekati masyarakat.

Ketua Cawangan PBB Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, berkata seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu terus memperkukuhkan semangat kerjasama serta memastikan setiap gerak kerja dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

Menurutnya, kekuatan organisasi parti di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan keperluan serta aspirasi masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sentiasa diberi perhatian.

Beliau turut menekankan kepentingan setiap sayap dan ranting memainkan peranan secara aktif dalam menggerakkan aktiviti parti serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.

“Saya berharap seluruh kepimpinan PBB Cawangan Kabong terus bergerak sebagai satu pasukan, saling bekerjasama dan sentiasa peka terhadap keperluan serta aspirasi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PBB Cawangan Kabong yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong, hari ini.

Mesyuarat tersebut turut menjadi platform untuk membincangkan perkembangan semasa selain memperkukuhkan lagi gerak kerja serta penyelarasan organisasi PBB Cawangan Kabong.

Antara agenda yang dibincangkan termasuk pengesahan minit mesyuarat, perkara-perkara berbangkit, laporan Setiausaha Cawangan, laporan Bendahari Cawangan dan laporan Ketua Penerangan Cawangan.

Turut dibentangkan ialah laporan Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Belia serta Ketua Ranting berkaitan perkembangan keahlian di peringkat ranting masing-masing.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan perkara-perkara lain sebelum diakhiri dengan ucapan penangguhan, sekali gus memperlihatkan komitmen PBB Cawangan Kabong untuk terus memperkemas organisasi dan memperkukuh khidmat kepada masyarakat.

Oleh Adi Safarman